KUALA LUMPUR – Pelakon terkenal, Fattah Amin menyerahkan sepenuhnya kepada pihak polis dan peguam berhubung dakwaan yang mengaitkan namanya dengan satu insiden keganasan fizikal membabitkan seorang wanita warga Indonesia yang tular baru-baru ini.
Fattah atau nama sebenarnya Abdul Fattah Mohd. Amin, 35, berkata beliau tidak mahu mengulas lanjut mengenai perkara tersebut kerana kes berkenaan masih dalam proses siasatan dan tindakan undang-undang.
“Kami juga tidak mahu memberi komen lebih-lebih mengenai isu ini.
“Setakat yang saya tahu, kes itu masih lagi dalam urusan pihak polis dan peguam,” katanya ketika ditemui pada acara Allstars Picklebash 2.0 di Pickle Social Club, hari ini.
Mengulas lanjut, pelakon drama Playboy Itu Suami Aku itu mengakui terkejut apabila namanya bersama isteri yang juga penyanyi, Amira Othman, dikaitkan dengan insiden berkenaan.
Menurutnya, kenyataan penjelasan telah dikeluarkan menerusi media sosial bagi memperbetulkan salah faham yang timbul dalam kalangan netizen.
“Sebenarnya kenyataan itu sudah diberikan dan dimuat naik dalam media sosial. Kami pun tidak sangka perkara ini boleh berlaku dan menjadi tular.
“Mungkin ada juga yang tidak jelas, tidak faham atau tidak tahu mengenai perkara sebenar. Itu sahaja yang mahu dijelaskan.
“Jadi, kami keluarkan satu kenyataan untuk membuat penjelasan bahawa saya tidak ada kena-mengena dengan isu berkenaan,” katanya.
Terdahulu, pada 13 Jun lalu, tular sebuah video yang memaparkan insiden keganasan fizikal membabitkan empat individu terhadap seorang wanita warga Indonesia yang dipercayai bekerja sebagai pembantu rumah.
Susulan penularan video tersebut, terdapat segelintir pengguna media sosial membuat perkongsian yang mengaitkan Fattah dan Amira dengan individu yang terlibat dalam insiden berkenaan.
Bagaimanapun, firma guaman Arief & Iskandar Advocates & Solicitors yang mewakili pasangan itu tampil menafikan sebarang kaitan anak guam mereka dengan kejadian tersebut.
Menurut firma guaman berkenaan, Fattah dan Amira bukan individu yang berada dalam rakaman video tular itu serta tidak terlibat dalam insiden keganasan yang berlaku sama ada secara langsung mahupun tidak langsung.
Sehubungan itu, pasangan terbabit berharap orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang tidak sahih sehingga siasatan pihak berkuasa selesai dijalankan.


