HOUSTON – Brazil menepati reputasi sebagai antara pencabar utama Piala Dunia 2026 apabila bangkit secara dramatik untuk menewaskan Jepun 2-1 dalam aksi pusingan 32 terbaik semalam, hasil jaringan masa kecederaan yang memastikan kemaraan mereka ke pusingan seterusnya.
Kemenangan itu hadir selepas skuad bimbingan Carlo Ancelotti terlebih dahulu dikejutkan apabila Jepun membuka jaringan pada babak pertama menerusi Kaishu Sano, sebelum Brazil mengubah tempo permainan pada separuh masa kedua untuk menguasai aksi.
Casemiro menyamakan kedudukan sebelum Gabriel Martinelli menjadi wira dengan gol kemenangan di saat akhir, sekali gus melengkapkan kebangkitan penuh dramatik Selecao.
Ancelotti mengakui kunci utama kebangkitan tersebut adalah ketenangan pemain ketika ketinggalan, selain disiplin mengekalkan struktur permainan walaupun ditekan lawan.
“Pada waktu rehat saya memberitahu pemain supaya bersabar kerana lambat atau cepat kami akan menjaringkan gol. Apa yang penting ialah kami terus mengekalkan struktur permainan,” katanya.
Beliau turut menegaskan perubahan taktikal selepas rehat menjadi faktor utama yang mengubah corak permainan Brazil sehingga mampu menguji benteng pertahanan Jepun dengan lebih agresif.
“Kami tahu kami berada di landasan yang betul (untuk bergelar juara) dan perlu terus mengikut haluan ini,” katanya.
Dalam masa sama, Casemiro menegaskan ketenangan menjadi asas kejayaan pasukan yang tidak panik walaupun ketinggalan awal.
“Kemenangan ini adalah hasil daripada ketenangan dan kesabaran kami dalam terus memberi tekanan kepada Jepun yang bermain secara bertahan,” katanya.
“Kami berjuang sepanjang perlawanan dan menguasai permainan, jadi kami tahu peluang pasti akan hadir,” tambahnya.
Ancelotti turut menyifatkan aksi tersebut sebagai persembahan paling lengkap Brazil setakat kejohanan, sekali gus memberi isyarat jelas mereka berada dalam prestasi terbaik menjelang pusingan 16.


