Selasa, 7 Julai 2026
spot_img
Pilihan RayaPRN Johor: Lebih 24,000 pengundi awal mula mengundi, proses lancar di 64...

PRN Johor: Lebih 24,000 pengundi awal mula mengundi, proses lancar di 64 pusat

JOHOR BAHRU – Proses pengundian awal bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 bermula hari ini apabila seramai 24,751 pengundi awal yang terdiri daripada anggota keselamatan dan pasangan masing-masing mula menunaikan tanggungjawab di 64 pusat mengundi awal di seluruh negeri.

Daripada jumlah itu, 12,041 merupakan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bersama pasangan, manakala 12,710 lagi terdiri daripada anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pasukan Gerakan Am (PGA) serta pasangan mereka.

Bagi pengundi awal PDRM, seramai 12,067 mengundi secara fizikal di pusat pengundian hari ini, manakala 643 lagi menunaikan tanggungjawab melalui undi pos.

Sebanyak 53 pusat mengundi awal PDRM dan 11 pusat mengundi awal ATM dibuka bermula pukul 8 pagi dengan waktu penutupan berbeza mengikut lokasi serta jumlah pengundi berdaftar, iaitu antara pukul 12 tengah hari hingga 6 petang.

Antara pusat mengundi yang dijadualkan menamatkan proses pengundian lebih awal ialah Balai Polis Tenang bagi DUN Tenang yang hanya mempunyai enam pengundi serta Balai Polis Bukit Besar di DUN Pasir Raja melibatkan 11 pengundi. Kedua-dua pusat itu dijangka ditutup pada pukul 12 tengah hari.

Sementara itu, pusat pengundian di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar, Balai Polis Kahang bagi DUN Kahang dan IPD Johor Bahru Utara dijadualkan beroperasi sehingga pukul 6 petang.

Bagi memastikan proses pengundian berlangsung dengan lancar, PDRM menggerakkan 3,565 petugas, melibatkan 647 pegawai, 2,806 anggota serta 112 pegawai awam di seluruh Johor.

Penugasan tersebut merangkumi kawalan keselamatan di pusat mengundi, pengiringan peti undi, kawalan lalu lintas, rondaan pencegahan jenayah, operasi bilik gerakan, pemantauan lokasi strategik serta penguatkuasaan undang-undang sepanjang proses pengundian berlangsung.

Semua peti undi awal akan disimpan di balai polis yang ditetapkan sebelum dibuka bagi proses pengiraan undi selepas tamat tempoh pengundian biasa pada Sabtu ini.

PRN Johor ke-16 menyaksikan seramai 172 calon bertanding merebut 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), manakala kira-kira 2.7 juta pengundi layak menunaikan tanggungjawab pada hari pengundian rasmi yang dijadualkan berlangsung Sabtu ini.

ARTIKEL BERKAITAN
-Iklan-