SEREMBAN – Barisan Nasional (BN) optimis barisan calon yang dipertaruhkan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 (PRN16) mampu mengembalikan keyakinan rakyat sekali gus merampas semula pentadbiran negeri berdasarkan pengalaman, kredibiliti serta rekod perkhidmatan mereka.
Calon BN bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pertang, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, setiap calon yang dipilih mempunyai latar belakang dan pengalaman mencukupi untuk memikul amanah rakyat sekiranya diberikan mandat pada 1 Ogos ini.
Beliau berkata, fokus utama BN bukan sekadar memenangi pilihan raya, sebaliknya memastikan Negeri Sembilan terus menikmati kestabilan politik, kemakmuran ekonomi dan kesejahteraan rakyat.
“Kalau kita lihat dan kaji soal yang berkaitan dengan latar belakang calon dalam soal yang berkaitan dengan pencapaian ataupun pengalaman calon-calon ini sebenarnya, saya yakin mereka boleh memberikan khidmat yang terbaik selepas mereka diberikan kemenangan pada 1 Ogos nanti.
“Matlamat kita adalah untuk mengekalkan negeri yang terus stabil, makmur dan yang penting sekali ialah untuk mensejahterakan kesemua rakyat di Negeri Sembilan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Jentera dan Pengumuman Calon BN PRN Negeri Sembilan di Stadium Paroi, pada malam Rabu.
Jalaluddin yang juga Ahli Parlimen Jelebu berkata, pengalaman panjang BN mentadbir Negeri Sembilan menjadi kelebihan utama dalam meyakinkan pengundi untuk memberikan semula mandat kepada gabungan itu.
“Barisan Nasional mempunyai pengalaman luas dalam mengurus tadbir kerajaan negeri buat sekian lama dan pengalaman ini pastinya akan memberikan suntikan semangat dan keyakinan rakyat untuk memberikan sekali lagi kepercayaan kepada Barisan Nasional bagi memimpin kerajaan negeri selepas PRN16 nanti, insya-Allah,” katanya.
Pada majlis sama, BN mengumumkan calon bagi 25 daripada 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang akan ditandingi pada PRN16.
Baki 11 kerusi pula dijadual dimuktamadkan pada Khamis malam selepas rundingan bersama pihak berkaitan selesai.
Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini memaklumkan keputusan itu dibuat berikutan rundingan kerjasama yang masih berlangsung dengan beberapa pihak.
Pada PRN Negeri Sembilan 2023, BN memenangi 14 kerusi DUN, manakala Pakatan Harapan memperoleh 17 kerusi dan Perikatan Nasional (PN) lima kerusi. BN kini menyasarkan keputusan lebih baik bagi membentuk semula kerajaan negeri selepas pengundian pada 1 Ogos ini.


