KUALA LUMPUR – Kerugian dan hutang mencecah RM260,000 akibat isterinya dipercayai terjerat dengan penipuan cinta atau ‘love scam’ dipercayai mencetuskan tindakan seorang lelaki membunuh isteri serta dua anak mereka sebelum ditemukan maut di sebuah kondominium di Desa ParkCity, di sini, semalam.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, siasatan menemukan sekeping nota dipercayai ditinggalkan lelaki berusia 48 tahun itu di atas meja makan kediaman keluarga berkenaan.
Menurutnya, kandungan nota terbabit menyatakan rasa kesal lelaki itu terhadap isterinya yang didakwa mempunyai hubungan dengan seorang individu dipercayai ‘scammer’ sehingga menyebabkan kerugian dan hutang berjumlah RM260,000.
Lebih mengejutkan, nota berkenaan turut mendakwa isterinya masih cuba menghubungi ‘scammer’ terbabit meskipun keluarga berkenaan berdepan kerugian besar.
“Dalam nota itu, isterinya dikatakan masih cuba menghubungi ‘scammer’ berkenaan.
“Suspek merasakan perbuatan itu sudah melampau selain berasa malu kepada anak-anaknya,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Fadil berkata, wanita berusia 47 tahun itu merupakan seorang suri rumah, manakala suaminya bekerja sebagai pengarah di sebuah syarikat milik bapanya.
Tragedi berkenaan terbongkar selepas polis menerima laporan pada jam 3.32 petang mengenai seorang lelaki berusia 48 tahun yang terjatuh dari bangunan kondominium berkenaan.
Polis kemudian memasuki unit kediaman keluarga itu dengan bantuan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia sebelum menemukan tiga lagi mangsa meninggal dunia di dalam bilik berasingan.
Mangsa terdiri daripada isteri lelaki berkenaan serta dua anak mereka iaitu kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun dan kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun.
Ketiga-tiga mangsa ditemukan mengalami kecederaan parah pada bahagian leher.
Dalam perkembangan terbaharu, Fadil berkata, proses bedah siasat terhadap kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun selesai dijalankan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) kira-kira jam 12 tengah hari Jumaat.
Hasil bedah siasat menemukan satu luka tikaman berukuran kira-kira lima sentimeter pada bahagian leher mangsa.
“Bedah siasat kedua ke atas mayat isteri suspek akan dijalankan selepas solat Jumaat dan dijangka tiga bedah siasat akan dilakukan hari ini.
“Bedah siasat ke atas mayat suspek pula dijangka dilakukan esok selepas pasukan forensik HKL mengadakan lawatan ke lokasi kejadian pada pagi esok,” katanya.
Sementara itu, polis turut menemukan sebilah pisau bersama sepasang sarung tangan di dalam sebuah laci di bilik tidur utama.
Kedua-dua barangan berkenaan dipercayai digunakan dalam kejadian dan menjadi antara bahan bukti yang diperoleh bagi membantu siasatan.
Polis masih menjalankan siasatan lanjut bagi menentukan keseluruhan kronologi serta motif sebenar kejadian.
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

