NasionalJenazah Dr. Ainul Baraah dijangka tiba di Kelantan esok

Jenazah Dr. Ainul Baraah dijangka tiba di Kelantan esok

KOTA BHARU – Selepas melalui proses pengecaman susulan tragedi helikopter di Sarawak, jenazah Allahyarham Dr. Ainul Baraah Kamarudin, 33, dijangka dibawa pulang ke Kelantan esok untuk dikebumikan di tanah kelahirannya.

Jenazah Allahyarham dijadualkan dibawa ke Masjid Karomah, Kampung Baung untuk disolatkan sebelum disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Sri Kedeper.

Ahli keluarga terdekat kepada suami Allahyarham, Mohd. Aidi Amin Ghani, 53, berkata, keluarga kini menantikan kepulangan jenazah selepas beberapa urusan termasuk proses berkaitan asid deoksiribonukleik (DNA) diselesaikan.

“Insya-Allah jenazah akan tiba di Kelantan esok. Sekarang masih urusan sampel asid deoksiribonukleik (DNA) kerana jenazah kelima-lima mangsa dikatakan bercampur.

“Difahamkan, Mufti Sarawak, Datu Khalidi Ibrahim akan hadir untuk beberapa urusan berkaitan jenazah itu di Kuching,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Terdahulu, ahli keluarga Allahyarham dilaporkan berada di Sarawak bagi melalui proses pengumpulan dan pengecaman barangan peribadi susulan nahas helikopter yang meragut lima nyawa berhampiran Long Lellang, Marudi.

Proses berkenaan turut melibatkan ibu dan bapa Allahyarham, Kamarudin Salleh, 69, dan Rogayah Mohd. Noor, 69, yang tiba di Miri kira-kira pukul 1 tengah hari semalam.

Pasangan itu kemudiannya ditempatkan di sebuah hotel sementara menunggu proses pengecaman di Hospital Miri.

Menurut ahli keluarga berkenaan, antara barangan yang dijadikan rujukan untuk pengecaman ialah pakaian serta barangan peribadi yang digunakan Allahyarham ketika kejadian.

“Kami dimaklumkan, ahli keluarga yang pergi ke sana akan melakukan pengecaman terhadap barangan yang dipakai Ainul Baraah ketika kejadian seperti pakaian, barangan kemas atau jam tangan miliknya di Hospital Miri,” katanya.

Allahyarham merupakan antara lima individu yang terkorban dalam nahas helikopter Perkhidmatan Doktor Udara (FDS) berhampiran Long Lellang, Sarawak.

-Iklan-
ARTIKEL BERKAITAN
-Iklan-