KUALA LUMPUR – Persoalan sama ada baki hukuman penjara Datuk Seri Najib Razak akan dipertimbangkan semula menjadi antara perkara yang mencuri perhatian menjelang mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan (LPWP) yang dijangka berlangsung hari ini.
Mesyuarat yang dijangka dipengerusikan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim itu turut mengundang perhatian terhadap kemungkinan isu tahanan rumah kembali dibangkitkan susulan permohonan terbaharu bekas Perdana Menteri berkenaan.
Bagaimanapun, setakat ini belum ada pengesahan rasmi sama ada LPWP akan membuat keputusan terhadap permohonan Najib atau sekadar membincangkan perkara berkaitan.
Pensyarah Kanan Fakulti Undang-Undang Universiti Teknologi MARA (UiTM), Dr Ikmal Hisham Md Tah berkata, Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan tidak menetapkan bahawa kuasa pengampunan hanya boleh digunakan sekali bagi sesuatu sabitan.
“Baki hukuman SRC masih boleh dipertimbangkan untuk pengampunan, pengurangan, penangguhan atau komutasi selanjutnya.
“Namun, dari sudut tadbir urus, pertimbangan kali kedua sewajarnya berdasarkan faktor atau perubahan keadaan yang baharu, bukan sekadar pengulangan permohonan sehingga keputusan tertentu diperoleh,” katanya.
Menurut beliau, LPWP boleh mengambil kira beberapa faktor termasuk tempoh hukuman yang sudah dijalani, kelakuan dalam penjara, keinsafan, umur, kesihatan, faktor kemanusiaan, kesepadanan hukuman, sumbangan kepada negara dan kepentingan awam.
Beliau berkata, berdasarkan Perkara 42(9), LPWP juga perlu mempertimbangkan pendapat bertulis Peguam Negara sebelum memberikan nasihat berhubung sesuatu permohonan pengampunan.
“Namun, skop permohonan mesti dijelaskan. Jika hanya membabitkan SRC, sabitan itu sudah muktamad, tetapi jika terkait sabitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang masih dalam proses rayuan, proses kehakiman sewajarnya diselesaikan terlebih dulu,” katanya.
Najib kini menjalani hukuman penjara selepas disabitkan atas tujuh pertuduhan berkaitan penyelewengan RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd.
Mahkamah Persekutuan pada 23 Ogos 2022 mengekalkan sabitan dan hukuman asal 12 tahun penjara serta denda RM210 juta terhadapnya.
Pada 29 Januari 2024, LPWP kemudian memutuskan hukuman penjara Najib dikurangkan kepada enam tahun, manakala denda diturunkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.
Keputusan yang diumumkan pada 2 Februari 2024 itu menetapkan tarikh pembebasannya pada 23 Ogos 2028, tertakluk kepada syarat ditetapkan.
Dalam pada itu, Ikmal Hisham berkata, sekiranya permohonan terbaharu berkenaan dipertimbangkan, terdapat beberapa bentuk keringanan yang boleh menjadi perhatian.
“Pengampunan boleh melepaskan seseorang daripada keseluruhan atau baki hukuman, manakala pengurangan atau remisi hanya memendekkan tempoh atau mengurangkan jumlah hukuman.
“Komutasi pula menggantikan hukuman dengan bentuk hukuman yang lebih ringan, manakala tahanan rumah mengubah cara dan tempat hukuman dilaksanakan,” katanya.
Bagaimanapun, beliau menegaskan Perkara 42 tidak menyebut tahanan rumah secara nyata, justeru pelaksanaannya memerlukan proses serta mekanisme undang-undang yang jelas bagi tujuan pengawasan dan penguatkuasaan.
Isu tahanan rumah Najib sebelum ini menjadi pertikaian undang-undang susulan dakwaan kewujudan titah tambahan berkaitan cara baki hukuman beliau perlu dijalani.
Pada 22 Disember 2025, Mahkamah Tinggi menolak permohonan Najib untuk menjalani baki hukuman penjara di rumah selepas mendapati titah tambahan berkenaan tidak mempunyai kesan undang-undang yang sah, antaranya kerana ia tidak dibincangkan dalam mesyuarat LPWP pada Januari 2024.
Justeru, mesyuarat LPWP hari ini dijangka kembali menjadi tumpuan, khususnya mengenai sama ada baki hukuman SRC Najib akan dipertimbangkan sekali lagi dan, jika ya, apakah bentuk keringanan yang mungkin menjadi pertimbangan.
