NEW DELHI – Di sebalik rakaman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyanyikan lagu klasik Hindi yang meraih lebih 1.4 juta tontonan, tersimpan kisah seorang pemain piano yang membuat persiapan khusus bagi merebut peluang keemasan itu.
M. Rehman, 45, terlebih dahulu mengkaji lagu kegemaran Anwar selepas dimaklumkan bahawa Perdana Menteri Malaysia mungkin mengunjungi hotel berkenaan ketika menghadiri Sidang Kemuncak Pemimpin BRICS Ke-18.
Usahanya membuahkan hasil apabila alunan piano dimainkan berjaya menarik perhatian Anwar sebelum kedua-duanya mempersembahkan lagu klasik nyanyian Kishore Kumar, Khwab Ho Tum Ya Koi Haqeeqat.
“Saya gembira, sangat gembira. Orang ramai melihat saya. Sekurang-kurangnya mereka nampak saya, wajah saya. Wajah saya ditunjukkan di seluruh dunia,” katanya ketika ditemui Bernama.
Rakaman berdurasi satu minit 32 saat yang dimuat naik menerusi akaun X Anwar itu mencatat lebih 1.4 juta tontonan, selain tular di India dengan pelbagai perkongsian, komen positif dan pujian daripada pengguna media sosial.
Rehman yang juga guru muzik Barat berkata, pihak hotel memaklumkan kepadanya pada Jumaat bahawa Perdana Menteri Malaysia mungkin berada di situ dan amat meminati lagu-lagu Hindi.
“Jadi, saya membuat kajian tentang lagu kegemaran beliau dan memberitahu diri saya bahawa saya mesti boleh memainkan apa sahaja lagu yang diminta beliau,” katanya yang mempunyai pengalaman selama 22 tahun sebagai pemain piano.
Menurut Rehman, peluang itu muncul pada keesokan harinya apabila beliau terlihat Anwar memasuki kawasan restoran tempat piano berkenaan diletakkan.
Beliau kemudian bergegas kembali ke piano dan memainkan lagu Dost Dost Na Raha daripada filem Sangam, yang dipercayainya antara lagu kegemaran Perdana Menteri.
“Perdana Menteri sebenarnya menuju ke tempat lain, tetapi beliau datang kepada saya apabila saya mula memainkan satu daripada lagu kegemaran beliau.
“Beliau mengubah arah lalu datang kepada saya,” katanya sambil menyifatkan Anwar sebagai seorang pemimpin mesra dan meminati lagu Hindi.
Pertemuan spontan yang didahului persiapan rapi itu akhirnya mencipta detik istimewa apabila Anwar menyampaikan lagu daripada filem Hindi terbitan 1965, Teen Devian.
Bagi masyarakat India, lagu malar segar Kishore itu dekat di hati dan nyanyian Anwar bukan sahaja membangkitkan nostalgia, malah menjadi jambatan muzik yang menghubungkan Malaysia dengan India.
Persembahan berkenaan turut membuktikan bahawa bahasa muzik mampu merapatkan hubungan antara masyarakat dua negara menerusi sebuah detik ringkas tetapi penuh makna.
