KULIM – Seorang lelaki dipercayai mengambil anaknya daripada pengasuh dan menyerahkannya kepada ahli keluarga sebelum tampil ke balai polis selepas didakwa menikam isterinya sebanyak 13 kali dalam kejadian di Taman Tiram, malam tadi.
Mangsa berusia 39 tahun mengalami tujuh tikaman di dada, lima di perut dan satu di rusuk kanan susulan pertengkaran pasangan berkenaan yang dipercayai berkaitan cemburu serta masalah rumah tangga.
Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Syamsul Sinring berkata, suspek berusia 43 tahun hadir ke Balai Polis Lunas kira-kira pukul 8.40 malam dan memaklumkan bahawa dia telah menikam isterinya.
“Suspek turut menyerahkan sebilah pisau lipat yang dipercayai digunakan dalam kejadian tersebut.
“Lelaki itu ditahan kira-kira pukul 9 malam oleh anggota Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Kulim di Balai Polis Lunas,” katanya.
Menurut Syamsul, pemeriksaan di rumah teres satu tingkat berkenaan mendapati kejadian dipercayai berlaku di bilik tidur utama yang didiami pasangan itu bersama anak mereka berusia tiga tahun.
Polis turut menemukan kesan dipercayai darah pada cadar tilam, bantal, kepala katil serta beberapa barangan di atas katil.
“Siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berpunca akibat pertengkaran antara pasangan tersebut berkaitan cemburu dan masalah rumah tangga.
“Suspek mengaku menikam mangsa sebanyak 13 kali menggunakan pisau lipat berukuran 20 sentimeter,” katanya.
Selepas kejadian, suspek dipercayai mandi sebelum mengambil anaknya daripada pengasuh dan menyerahkan kanak-kanak itu kepada kakaknya di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Juru.
Suspek turut memberitahu kakaknya mengenai kejadian itu sebelum pergi ke Balai Polis Lunas untuk menyerah diri.
Mangsa dibawa ahli keluarga ke Hospital Kulim sebelum disahkan meninggal dunia pada pukul 9.30 malam. Mayat kemudian dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar untuk bedah siasat.
Ujian air kencing mendapati suspek bebas daripada bahan terlarang selain tidak mempunyai rekod lampau.
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
