SHAH ALAM – Walaupun kecerdasan buatan (AI) dilihat semakin menguasai pelbagai bidang termasuk media, dua pelajar Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media (FKPM), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam berpandangan teknologi itu bukan satu ancaman, sebaliknya peluang untuk lebih maju.
Pelajar Ijazah Sarjana Muda Pengiklanan tahun 1, Danish Effendi menyifatkan AI sebagai alat yang membantu pelajar dan pengamal media mengasah idea serta menghasilkan kandungan yang lebih segar.
“AI bukan masalah. Ia bantu kami asah idea. Bukan semua kerja boleh dibuat AI, terutama yang melibatkan sentuhan budaya dan kreativiti. Idea dari AI kami boleh olah dan tambah nilai supaya lebih relevan dengan khalayak,” jelas Danish ketika ditemui MYBERITA baru-baru ini.
Menyentuh isu peluang pekerjaan dalam bidang media pada masa depan, Danish optimis bahawa peluang masih luas.
“Media tak hanya bergantung pada AI. Kami tetap hasilkan kandungan sendiri yang lebih ‘manusiawi’. AI bantu, tapi kreativiti dan nilai manusia tetap penting,” katanya lagi.
Namun begitu, beliau turut berharap agar fasiliti pengajian seperti kamera dan peralatan penyiaran ditambah baik untuk memberikan pengalaman pembelajaran yang lebih menyeluruh.
“Fasiliti ok, tapi untuk bidang seperti penyiaran, peralatan seperti kamera perlu dinaik taraf. Kami juga beli sendiri software seperti Adobe, tanpa bantuan fakulti,” tambahnya.
Sementara itu, pelajar Ijazah Sarjana Muda Penerbitan, Qistina Sarah turut senada bahawa sentuhan manusia tetap diperlukan dalam dunia media.
“Human touch itu tak boleh diganti. Saya tahu nilai kerja saya. Kalau AI ambil alih kerja grafik sekalipun, saya tetap yakin hasil saya lebih bernilai,” kata Qistina.
Beliau juga menekankan isu beban kos yang perlu ditanggung pelajar untuk membeli perisian profesional seperti Adobe InDesign, Premiere Pro dan After Effects.
“Semua software kami beli sendiri. Bayar ratusan ringgit sebulan. Harap pihak fakulti atau kerajaan boleh bantu sediakan software untuk pelajar. Ia penting untuk kemahiran kami, juga masa depan industri media negara,” katanya lagi.
Tambah Qistina, kemudahan asas seperti pencetak juga sangat terhad di fakulti, menyebabkan pelajar terpaksa berulang-alik hanya untuk mencetak tugasan.
“Printer pun tak cukup. Kalau ada satu ruang khas untuk pelajar cetak tugasan pun dah cukup membantu,” katanya.


