Sabtu, 31 Oktober 2026 | 05:18:40 am

MAINS peruntuk hampir RM11 juta, bantu pelajar dan pesakit kronik

SEREMBAN – Golongan pelajar dan pesakit kronik yang layak di Negeri Sembilan bakal menerima bantuan kewangan menerusi Inisiatif Zakat Prihatin MAINS 2026 dengan peruntukan keseluruhan hampir RM11 juta bagi meringankan beban kos pendidikan serta rawatan kesihatan.

Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) dalam kenyataan media memaklumkan, sejumlah RM10,996,500 diperuntukkan bagi melaksanakan empat komponen utama bantuan yang turut merangkumi insentif kepada majikan agensi dan institusi yang memenuhi syarat ditetapkan.

Menurut MAINS, permohonan bagi bantuan awal persekolahan, pengajian institusi pengajian tinggi (IPT) dan perubatan akan dibuka mulai 2 hingga 23 November 2026 secara dalam talian menerusi Sistem ePrihatin Zakat MAINS.

“Semua permohonan tertakluk kepada syarat kelayakan, semakan dan kelulusan MAINS,” menurut kenyataan itu.

Menerusi Bantuan Awal Persekolahan Tahun 1 dan Tingkatan 1 Sesi 2027, murid yang layak akan menerima RM100 seorang dengan keutamaan diberikan kepada keluarga berpendapatan isi rumah antara RM4,690 hingga RM9,979.

Sementara itu, pelajar IPT dalam dan luar negara berpeluang memperoleh bantuan RM500 seorang, khususnya mereka yang sedang mengikuti pengajian di institusi diiktiraf kerajaan Malaysia serta belum pernah menerima bantuan zakat pendidikan MAINS sepanjang tempoh pengajian.

Bagi pesakit kronik dan kritikal pula, bantuan RM500 disediakan kepada pemohon yang memenuhi syarat dengan keutamaan kepada isi rumah berpendapatan RM4,689 dan ke bawah.

Pemohon bagi kategori berkenaan perlu mendapatkan pengesahan pegawai perubatan sebagai sebahagian daripada syarat permohonan.

Dalam perkembangan sama, MAINS turut memperkenalkan Inisiatif Mawaddah yang menawarkan insentif RM10,000 kepada setiap majikan agensi atau institusi yang layak.

Inisiatif itu melibatkan jabatan dan agensi kerajaan serta sektor swasta termasuk sekolah dan institusi pengajian tinggi yang mencapai sasaran penyertaan potongan zakat sebanyak 90 peratus serta potongan wakaf berjadual sebanyak 50 peratus dalam kalangan kakitangan beragama Islam.

Pelaksanaannya berlangsung dari 1 Ogos hingga 31 Oktober 2026 melalui penyelarasan dan pengesahan MAINS.

MAINS turut memaklumkan pautan permohonan bantuan pendidikan dan perubatan akan diumumkan menerusi portal rasmi serta platform media sosialnya pada 2 November ini.

Maklumat lanjut berkaitan syarat kelayakan, dokumen sokongan, panduan permohonan dan soalan lazim juga akan disediakan sebelum tarikh permohonan dibuka bagi memudahkan orang ramai membuat persediaan awal.

“MAINS menyeru umat Islam yang memenuhi syarat supaya memanfaatkan peluang ini,” menurut kenyataan berkenaan.

Pelaksanaan inisiatif tersebut mencerminkan usaha berterusan MAINS memastikan dana zakat diagihkan secara bersasar bagi membantu golongan yang memerlukan, khususnya dalam aspek pendidikan, kesihatan dan kesejahteraan masyarakat Islam di Negeri Sembilan.