SIK – Sepasang suami isteri, Lokman Hakim Mohd Shukri, 23, dan isterinya, Intan Suraya Zaidi, 24, maut dalam kemalangan di Jalan Felda Teloi Timur, Kampung Merbau Kudung, di sini, petang Selasa.
Pasangan berkenaan difahamkan sempat mengambil gambar raya di sebuah studio di Parit Panjang, Baling sebelum mereka terlibat dalam nahas berkenaan.
Pemilik Bromie Studio, Muhammad Suhaimi Yahaya, 35, berkata pasangan itu datang ke studionya pada jam 11 pagi untuk sesi fotografi Hari Raya yang berlangsung selama 30 minit.
“Mereka kelihatan seronok dan wajah mereka berseri sepanjang sesi fotografi. Mereka juga teruja apabila gambar yang diambil dapat siap pada hari yang sama dan dihantar terus ke telefon bimbit mereka,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Tambahnya, pasangan itu banyak ketawa dan ceria sepanjang sesi tersebut.
“Tidak lama selepas itu, saya terkejut menerima berita mereka terbabit dalam kemalangan dan meninggal dunia di tempat kejadian. Saya mengenali pasangan itu sejak merakam gambar perkahwinan mereka pada Jun tahun lalu. Mereka pasangan yang sangat baik dan kelihatan gembira. Tak sangka ini foto terakhir yang saya ambil untuk mereka,” katanya.
Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 petang itu, kereta Perodua Myvi yang dinaiki pasangan tersebut bertembung dengan sebuah lori bermuatan batu.
Menurut sumber polis, kenderaan pasangan itu dalam perjalanan dari arah Bukit Selambau menghala ke Batu Lima, manakala lori berkenaan datang dari arah bertentangan.
“Siasatan awal mendapati kereta yang dipandu Lokman Hakim hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan lori tersebut,” katanya.
Mayat pasangan itu telah dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sik untuk proses bedah siasat.
Media semalam melaporkan bahawa pasangan suami isteri itu maut di tempat kejadian akibat nahas terbabit.


