Pegawai bomba ke Everest, bawa misi kebajikan

SEPANG – Pegawai Bomba Kanan (PBK) I, Mohd Fakhrul Munir Mohd Isa telah berlepas ke Nepal pada Isnin bagi memulakan misi pendakian ke puncak tertinggi dunia, Gunung Everest menerusi Projek Pendakian Amal Bomba de Everest “Mencari Hati Emas” 2025.

Beliau yang juga anggota Pasukan Khas Udara Bomba (PASKUB) dari Pangkalan Udara Wilayah Tengah, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), menaiki penerbangan Malaysia Airlines (MAS) dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada jam 8.00 malam.

Mohd Fakhrul Munir kini berada dalam keadaan fizikal dan mental yang optimum setelah menjalani sesi latihan intensif selama tiga tahun di luar negara termasuk latihan pendakian di Gunung Kinabalu. Pada Februari lalu, beliau berjaya menawan Gunung Kilimanjaro di Tanzania yang berketinggian 5,895 meter dari aras laut, sekali gus memberinya kelebihan dari segi penyesuaian terhadap ketinggian, terutama dalam aspek pernafasan, selera makan dan pola tidur.

“Setibanya di Kathmandu, Nepal, saya akan melakukan beberapa pendakian terlebih dahulu untuk membiasakan diri dan mengelakkan penyakit ketinggian atau Acute Mountain Sickness (AMS). Saya dijangka berada di Nepal selama dua bulan sebelum memulakan pendakian ke Gunung Everest dan akan menunggu cuaca terbaik serta kebenaran daripada Sherpa sebelum meneruskan pendakian ke puncak,” katanya ketika ditemui di terminal berlepas Lapangan Terbang Antarabangsa (KLIA).

Menurutnya, latihan di Gunung Kinabalu serta pengalaman mendaki di luar negara menjadi asas kukuh dalam persiapannya untuk misi berisiko tinggi ini.

“Saya bersyukur kerana semua persiapan berjalan lancar. Saya sudah bersedia dari segi fizikal dan mental untuk mendaki Gunung Everest. Ini masa terbaik untuk saya,” ujar beliau.

Projek Pendakian Amal Bomba de Everest bukan sekadar satu pencapaian peribadi, sebaliknya membawa matlamat besar dalam mengumpul dana bagi membantu anggota bomba yang tercedera atau terkorban sewaktu menjalankan tugas, serta mereka yang masih berkhidmat dalam pasukan.

BACA JUGA:  Anjing, kucing mati dalam sangkar klinik haiwan, SAFM desak siasatan segera

Selain itu, projek ini turut menyasarkan kutipan dana bagi tujuan pembedahan dan rawatan transplantasi buah pinggang serta mempertingkatkan kesedaran dalam kalangan masyarakat untuk menjadi penderma organ. Dana yang dikumpulkan juga akan disalurkan bagi menyokong pendidikan melalui Yayasan Al Baghdadi.

Projek ini mendapat sokongan penuh daripada pengurusan tertinggi JBPM dan dianjurkan bersama Kelab Kembara Kosmopolitan, Gedung Penawar Sdn. Bhd., serta Kumpulan Al Baghdadi Group Sdn. Bhd.

Bagi menyokong kutipan dana, Mohd Fakhrul Munir turut melancarkan jualan amal alat pemadam api keluaran khas seberat satu kilogram, disertakan barangan kombo eksklusif seperti baju-T dan topi tahan lasak.

“Saya berharap rakyat Malaysia akan terus menyokong usaha ini. Setiap sumbangan akan memberi manfaat kepada anggota bomba yang berkorban demi keselamatan negara. Bersama-sama, kita boleh membawa perubahan,” katanya.

Orang ramai serta pihak media dijemput untuk terus memberi sokongan kepada misi ini sebagai tanda solidariti terhadap kebajikan anggota bomba dan bagi memupuk semangat kesukarelawanan dalam kalangan masyarakat.

Nurazmin Afza
Nurazmin Afza
azminafza@portalmyberita.com

TRENDING

Suspek kes kurung, liwat remaja 14 tahun berjaya diberkas

KUALA LUMPUR - Pemburuan selama lima hari terhadap seorang...

Haroqs hanyutkan coklat ke laut demi anak-anak Gaza

KUALA LUMPUR - Pempengaruh media sosial, Muhammad Hareez Adzrami...

Tiada penyingkiran, Pak Azad & Amarra Sofea terselamat minggu kelima TTMM2

SHAH ALAM - Pasangan Pak Azad dan Amarra Sofea...

‘Travel around the world’ warnai Hari Guru Sekolah Sultan Alam Shah 2026

PUTRAJAYA - Sambutan Hari Guru peringkat Sekolah Sultan Alam...

Aidiladha di Malaysia disambut 27 Mei ini

KUALA LUMPUR - Umat Islam di seluruh Malaysia akan...