JERANTUT – Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri\’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan ketegasan terhadap isu pencerobohan tanah di negeri ini, sambil menitahkan agar tindakan tegas diambil terhadap mereka yang terlibat.
Baginda bertitah agar rakyat menjadi \’mata dan telinga\’ dalam membantu pihak berkuasa menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan pencerobohan tanah yang semakin berleluasa.
\”Jangan bagi orang menceroboh tanah negeri Pahang ini, saya pun naik darah juga banyak orang ceroboh tanah, sudah sampai masanya kita berkeras dengan mereka (penceroboh).
\”Jagalah negeri dan bumi Pahang ini sebaik mungkin,\” titah baginda semasa Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri di Kampung Bantal, Ulu Tembeling, Jerantut, semalam.
Rakaman titah baginda turut dimuat naik di laman Facebook rasmi Kesultanan Pahang.
Walaupun menzahirkan ketegasan, Al-Sultan Abdullah turut menyeru agar sebarang isu berkaitan pencerobohan tanah diselesaikan secara harmoni dan segala kekurangan ditangani dengan baik.
Baginda mengambil pendekatan berimbang dengan menekankan pentingnya menjaga negeri, sambil mengekalkan keamanan dan kebajikan rakyat.
Sebelum ini, tindakan kerajaan negeri melaksanakan operasi penguatkuasaan di kebun durian di Raub mencetuskan pelbagai reaksi, terutamanya daripada pekebun yang tidak berpuas hati apabila tanaman mereka dimusnahkan.
Kerajaan Pahang bagaimanapun menafikan dakwaan bahawa mereka melanggar perintah mahkamah, selepas kira-kira 200 pokok durian Musang King ditebang dalam operasi yang dijalankan di Sungai Klau, Raub pada 8 April lalu.
Operasi penguatkuasaan tersebut melibatkan Polis Diraja Malaysia dan Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP) dan dijangka akan diteruskan hingga 3 Mei ini. Ia dilaksanakan di kawasan penanaman yang dikenal pasti telah diteroka tanpa kebenaran.

