MELAKA – Seorang imam warga Thailand mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan melakukan persetubuhan luar tabii terhadap seorang remaja lelaki berusia 13 tahun, yang juga merupakan anak muridnya, pada Februari lalu.
Tertuduh, Malkan Maha, 28, yang bekerja sebagai guru di sebuah pusat tahfiz di Bukit Rambai, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Haderiah Siri.
Berdasarkan pertuduhan, Malkan didakwa melakukan persetubuhan bertentangan dengan aturan tabii tanpa kerelaan mangsa, yang merupakan pelajarnya sendiri. Kejadian itu didakwa berlaku di sebuah tanah lot bernombor di Solok Setulang Daeng, Bukit Rambai, Melaka Tengah, antara pukul 10 hingga 11 malam pada 20 Februari 2025.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan maksimum 20 tahun serta sebat, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Muhamad Ehsan Nasarudin memohon mahkamah menetapkan tarikh sebutan baharu selain mencadangkan syarat tambahan iaitu tertuduh dilarang mengganggu saksi pendakwaan, menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melapor diri dua kali sebulan di balai polis berhampiran.
Peguam L. Sharveen yang mewakili tertuduh memohon jaminan rendah atas alasan anak guamnya hanya berpendapatan RM1,500 sebulan sebagai imam dan guru tahfiz serta menanggung ibu bapa dan tujuh adik-beradiknya.
Mahkamah kemudian membenarkan jaminan sebanyak RM15,000 dengan dua penjamin warga tempatan selain menetapkan tertuduh melapor diri sekali sebulan di balai polis berhampiran.
Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 10 Jun depan.

