KUALA LUMPUR – Detik menyayat hati apabila seekor anak gajah jantan yang dilaporkan mati akibat dilanggar sebuah lori muatan ayam di Kilometer 80, Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) Gerik-Jeli semalam, rupa-rupanya sempat bermain mesra bersama ibunya sebelum kejadian malang itu berlaku.
Menerusi sebuah video tular yang dimuat naik oleh pengguna platform X, @zaquan, kelihatan anak gajah berkenaan sedang bermain di tepi jalan berhampiran semak bersama ibunya.
Video itu dirakam secara tidak sengaja ketika pengguna tersebut dan sebuah lagi kenderaan di hadapan berhenti memberi laluan kepada dua ekor gajah itu yang sedang melintas jalan pada lewat malam.
“Ni anak gajah yang kena langgar semalam. Masa lalu, dia main tepi jalan je dengan mak dia,” tulis @zaquan di ruangan kapsyen video berdurasi hampir seminit itu.
Rakaman berkenaan kini telah meraih lebih 1.3 juta tontonan, 72,800 tanda suka dan 10,200 perkongsian dalam tempoh kurang 24 jam dimuat naik. Rata-rata warganet meluahkan rasa sedih dan marah terhadap kejadian yang didakwa berpunca daripada kelajuan lori yang berlebihan.
“Kalau kereta boleh perlahan, kenapa lori tak boleh? Sampai terperosok anak gajah tu bawah lori. Mesti bawa laju sangat,” luah seorang pengguna bernama Lim.
Seorang lagi pengguna, Zuwieta turut berkongsi rasa kesal kerana tidak membantu menghalau anak gajah itu masuk semula ke hutan.
“Awal petang tu, dia sendirian. Saya pun lalui jalan tu. Rasa menyesal tak halau dia balik hutan. Kalau tak, mesti dia hidup lagi,” tulisnya.
Lebih menyayat hati, komen seorang pengguna lain yang menulis, “Dia (anak gajah) tak tahu itulah ‘moment’ terakhir dia dengan ibunya,” mengundang sebak dalam kalangan netizen.
Terdahulu, MYBERITA melaporkan insiden melibatkan sebuah lori muatan ayam yang dipercayai melanggar anak gajah tersebut hingga menyebabkan kematian serta-merta. Video berasingan berdurasi satu minit 11 saat turut tular, memaparkan seekor gajah betina yang dipercayai ibu kepada anak gajah malang itu cuba menolak lori berkenaan dalam keadaan panik dan trauma.

