Rabu, 8 Julai 2026
spot_img
PendidikanSyafiqah & Zurain bukti pelajar politeknik mampu berjaya hingga peringkat antarabangsa

Syafiqah & Zurain bukti pelajar politeknik mampu berjaya hingga peringkat antarabangsa

SHAH ALAM – Kecemerlangan Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PSA) terus menjadi kebanggaan apabila dua orang pelajarnya berjaya merangkul Anugerah Gemilang Pelajar Politeknik dan Kolej Komuniti 2024 dalam kategori Kebudayaan serta Keusahawanan.

Anugerah dalam kategori Kebudayaan, Kesenian dan Warisan disandang oleh Nursyafiqah Mohd Shahrul Anuar, 21, pelajar Semester 6 Diploma Kejuruteraan Awam, yang juga Naib Pengerusi Kelab Semarak Seni PSA.

Beliau diiktiraf atas komitmen luar biasa dalam bidang seni tari, dengan penglibatan aktif dalam pelbagai persembahan di peringkat institusi, kebangsaan, malah antarabangsa.

Dalam kategori Keusahawanan pula, Zurain Z. Zaharuddin, 22, pelajar Semester 3 Diploma Pemasaran yang juga Presiden Premier Young Entrepreneur Club PSA, diangkat sebagai penerima anugerah atas kejayaannya menggerakkan pelbagai inisiatif keusahawanan berimpak tinggi di dalam dan luar negara.

Zurain turut dikenali atas kebolehannya memimpin dan membimbing rakan pelajar dalam meneroka dunia perniagaan sejak di bangku pengajian.

Pengarah PSA, Zainah Rujihan, menyifatkan kejayaan ini sebagai bukti keberkesanan pendekatan holistik institusi dalam membentuk graduan seimbang serta berdaya saing.

“Ini adalah hasil usaha gigih pelajar, bimbingan pensyarah dan sokongan padu semua pihak termasuk Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) serta Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK),” ujar beliau ketika ditemui pada majlis anugerah di KSL Esplanade Hotel, Klang.

Tambah beliau, PSA komited untuk terus melahirkan lebih ramai pelajar yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, malah unggul dalam sahsiah dan keterampilan global.

Majlis gilang-gemilang itu turut diserikan dengan persembahan khas oleh kumpulan muzik liveband PSA, SONATA, yang baru-baru ini muncul juara POLYCC Battle Showdown 2025.

Membawakan enam buah lagu pelbagai genre, persembahan bertenaga mereka mendapat sorakan hangat daripada para hadirin dan sekaligus menonjolkan lagi bakat seni pelajar PSA di pentas profesional.

Majlis penyampaian anugerah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mustapha Sakmud, bersama Ketua Pengarah Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Datuk Dr. Haji Mohd Zahari Ismail serta pengarah-pengarah institusi dari seluruh negara.

ARTIKEL BERKAITAN
-Iklan-