MELAKA – Seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun mengalami kecederaan di kepala dan tangan selepas dipercayai dipukul oleh bapanya sendiri hanya kerana tidak membancuh kopi menggunakan air panas seperti diarahkan.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, kejadian itu dilaporkan oleh ibu mangsa yang juga seorang guru tuisyen selepas melihat keadaan anaknya yang cedera.
Menurutnya, laporan polis dibuat wanita berkenaan di Balai Polis Tanjung Minyak pada pukul 9.11 malam semalam, selepas kejadian dilaporkan berlaku di rumah mereka di Taman Cheng Baru, Rabu lalu.
“Wanita tersebut mendapati kepala anaknya berbalut apabila pulang ke rumah kira-kira pukul 10.30 malam. Suaminya mengaku memukul anak mereka kerana mendakwa mangsa menipu.
“Mangsa mengalami kecederaan di bahagian kepala dan lebam pada tangan kiri,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Difahamkan, lelaki terbabit bertindak agresif selepas anaknya didakwa tidak menggunakan air panas semasa membancuh kopi seperti diminta. Apabila ditanya, mangsa dipercayai cuba berdalih, menyebabkan suspek naik angin lalu membaling kerusi ke arah mangsa.
Susulan itu, ibu mangsa mengambil keputusan membuat laporan polis kerana bimbang keselamatan anaknya.
Christopher berkata, kes kini disiasat oleh Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11), Jabatan Siasatan Jenayah Melaka mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.
Katanya, siasatan lanjut masih dijalankan bagi tindakan susulan.

