KUALA LUMPUR – Isu tarif 25 peratus yang dikenakan oleh Amerika Syarikat (AS) terhadap barangan eksport Malaysia akan dibawa ke mesyuarat Jemaah Menteri esok, kata Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.
Menurut beliau, daripada keseluruhan RM186 bilion nilai eksport komoditi negara, sekitar RM20 bilion adalah ke AS, melibatkan produk utama seperti minyak sawit, produk oleokimia dan sarung tangan getah.
“Malaysia bukan pembekal eksklusif kepada Amerika. Produk yang kita eksport seperti minyak sawit, oleokimia dan sarung tangan tidak dihasilkan oleh mereka sendiri. Namun kita tetap perlu bersaing dengan negara lain seperti Indonesia, Thailand, Vietnam dan China,” katanya.
Johari berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Pecah Tanah Projek Transformasi Kampus Taylor’s International School Kuala Lumpur (TISKL) di sini, hari ini.
Beliau turut menjelaskan bahawa bagi sesetengah produk, Malaysia masih mempunyai kelebihan daya saing.
“Kalau lihat Indonesia, harga minyak sawit mereka lebih tinggi daripada kita. Untuk sarung tangan, kita boleh bersaing secara adil dengan China dan Vietnam, manakala Thailand mempunyai kos yang lebih tinggi daripada kita,” tambahnya.
Dalam perkembangan berkaitan, Johari memaklumkan bahawa pasukan rundingan yang diketuai Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz sebelum ini telah berjaya mendapatkan lanjutan rundingan selama 90 hari yang berakhir pada 1 Ogos ini.
“Tapi sekarang tarif itu sudah dinaikkan daripada 24 peratus kepada 25 peratus. Jadi, kita akan tunggu dan bawa isu ini ke Kabinet esok (Rabu),” katanya.
Johari turut menegaskan bahawa Malaysia tidak boleh terlalu bergantung kepada satu pasaran sahaja dan perlu segera meneroka pasaran baharu bagi mengurangkan risiko kebergantungan.
“Dalam dunia ini ada lebih 190 negara. Takkan satu negara buat begini, kita terus rasa tak boleh buat apa-apa. Kita harus cari pasaran baharu,” katanya lagi.
Beliau juga menolak dakwaan bahawa penyertaan Malaysia sebagai Negara Rakan BRICS akan menyebabkan risiko tambahan dari segi tarif eksport oleh Amerika Syarikat.
Media antarabangsa sebelum ini melaporkan bahawa bekas Presiden AS, Donald Trump mengancam untuk mengenakan tarif lebih tinggi terhadap lebih 12 negara, termasuk Malaysia, namun menyatakan kemungkinan akan melanjutkan tarikh akhir pelaksanaan hingga Ogos ini.

