Pelajar USM cekal hidup dengan nenek, kini jadi anak angkat menteri

GEORGE TOWN — Kisah penuh inspirasi mengenai ketabahan seorang mahasiswa Universiti Sains Malaysia (USM) yang membesar tanpa ibu bapa, menyentuh hati Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong yang kemudiannya menjadikan mahasiswa berkenaan sebagai anak angkat.

Menerusi perkongsian di laman Facebook, Steven Sim menceritakan perjalanan hidup seorang pelajar tahun dua USM, Shun Yong, yang telah melalui pelbagai ujian hidup sejak kecil.

Tidak pernah mengenali ayahnya dan kehilangan ibu ketika di Tingkatan Dua, Shun Yong dibesarkan oleh neneknya yang kini berusia 87 tahun. Mereka hidup dengan bantuan bulanan sebanyak RM500 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Walaupun hidup dalam serba kekurangan, Shun Yong tetap cekal menuntut ilmu. Beliau memperoleh keputusan 4 flat dalam STPM dan berjaya melanjutkan pelajaran ke USM. Namun, cabaran kewangan terus membelenggunya apabila pinjaman PTPTN tidak mencukupi untuk menampung kos sara hidup,” katanya.

Pelajar itu turut bekerja sambilan setiap kali cuti semester bagi menampung perbelanjaan harian. Beberapa bulan lalu, beliau hampir tidak dapat mendaftar semester baharu akibat kekangan kewangan.

Mujur, seorang individu prihatin, yang dikenali sebagai Uncle Ooi, bukan ahli keluarga tetapi dianggap pelindung senyap menghubungi Steven dan memaklumkan situasi yang dihadapi pelajar tersebut.

“Saya segera bantu melunaskan yuran semesternya. Baru-baru ini, Shun Yong menghantar mesej kepada saya, memaklumkan bahawa komputer ribanya telah rosak dan semua dokumen penting tidak dapat diakses. Beliau hanya meminta sedikit bantuan untuk membaikinya,” katanya.

Berhasrat untuk membelikan komputer baharu kepada Shun Yong, Steven singgah ke USM dan terharu apabila mendapati bahawa Uncle Ooi telah terlebih dahulu menghadiahkan sebuah laptop baharu.

“Dalam dunia yang sibuk, masih ada insan berhati besar seperti Uncle Ooi. Yang tidak menunggu untuk dirayu, yang tidak menghakimi, tetapi sentiasa bersedia membantu kerana hatinya penuh kasih,” ujar beliau.

Tersentuh dengan semangat juang Shun Yong, Steven mempelawa pelajar itu menjadi anak angkatnya yang bukan sekadar sebagai penaja, tetapi sebagai tanda sokongan moral dan kasih sayang.

BACA JUGA:  Anak bawa ibu bapa buta dari KL ke Penang demi nasi kandar curi perhatian

“Saya mahu dia tahu bahawa dia tidak keseorangan. Kita semua berdiri di belakangnya. Anak muda seperti Shun Yong tidak perlukan simpati, mereka hanya perlukan peluang,” jelasnya.

Steven turut memperkenalkan tiga lagi anak angkatnya di USM, iaitu Amirul, Jin Wei dan Teck Qing yang turut hadir dalam kunjungan ke kampus tersebut. Menariknya, Teck Qing dan Shun Yong tinggal di asrama yang sama dan berkongsi latar belakang perjuangan yang hampir serupa.

“Saya minta mereka saling menjaga seperti adik-beradik. Mereka adalah simbol harapan dan kekuatan generasi muda. Jika kita mampu membuka satu pintu untuk mereka, tidak mustahil mereka akan membuka seribu pintu buat orang lain pula pada masa hadapan,” tambah Steven.

Adam Hafiz
Adam Hafiz
adamhafiz@portalmyberita.com

TRENDING

Janji nak bantu mekanik, tapi duit ‘gift’ TikTok pusing balik buat keluarga sendiri

KUALA LUMPUR - Niat murni seorang pemuda Cina untuk...

Nenek terlanggar ‘bumper’ kereta, tinggalkan duit RM206 dengan nota maaf

KUALA LUMPUR - Tindakan jujur seorang remaja meninggalkan wang...

Pelukis ‘tattoo’ dedah tolak pelanggan muslim, sanggup hilang untung

KUALA LUMPUR - Seorang artis tatu berbangsa Cina berkongsi...

Anak lekat nota untuk ibu sepanjang tunai haji, risau tengok bersendirian

KUALA LUMPUR – Kasih sayang anak-anak terhadap ibu terserlah...

Siti Nurhaliza terlibat kemalangan di lebuhraya MEX, cedera bengkak bahagian kaki

KUALA LUMPUR – Biduanita Negara, Siti Nurhaliza, terlibat dalam...