Pearly-Thinaah kekal bersama BAM hingga 2028, tamatkan spekulasi isu kontrak

KUALA LUMPUR – Selepas lebih enam bulan menjadi teka-teki, beregu wanita nombor satu negara, Pearly Tan dan M. Thinaah akhirnya mengesahkan akan terus kekal bersama Persatuan Badminton Malaysia (BAM) sehingga tahun 2028.

Presiden BAM, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz mengumumkan perkara itu dalam satu sidang media khas di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara, selepas kedua-dua pemain menandatangani kontrak baharu bersama badan induk badminton negara itu.

“Alhamdulillah, BAM dan Pearly-Thinaah telah mencapai kata sepakat berhubung kontrak baharu mereka. Ini hasil perbincangan menyeluruh demi masa depan badminton negara,” katanya.

Beliau turut memaklumkan bahawa butiran kontrak tidak akan didedahkan kerana bersifat sulit serta menghormati privasi kedua-dua pemain.

Sebelum ini, timbul spekulasi bahawa pasangan beregu itu meminta bayaran RM1 juta setahun setiap seorang sekiranya BAM mahu mereka kekal, namun perkara itu tidak pernah disahkan oleh mana-mana pihak.

Dengan selesainya isu ini, pasangan beregu ranking ketiga dunia itu bakal memberi tumpuan sepenuhnya kepada tiga kejohanan penting akan datang iaitu Terbuka Jepun (15-20 Julai), Terbuka China (22-27 Julai) dan Kejohanan Dunia (25-31 Ogos).

Sementara itu, Thinaah menyatakan rasa lega setelah kemelut kontrak diselesaikan dan menzahirkan penghargaan kepada BAM atas sokongan yang diberikan.

“Tiada siapa yang patut dipersalahkan. Jadual kami sangat padat. Sekarang kami boleh fokus kepada latihan dan kejohanan akan datang,” katanya.

Untuk rekod, Pearly dan Thinaah telah beraksi selama lebih enam bulan tanpa kontrak selepas perjanjian terdahulu tamat pada Disember lalu, mencetuskan kebimbangan peminat mengenai masa depan mereka dalam skuad kebangsaan.

BACA JUGA:  Murid 10 tahun minta gambar tak senonoh dekat cikgu, had umur media sosial perlu segera
Jafnieza Jafri
Jafnieza Jafri
jafnieza@portalmyberita.com

TRENDING

Siti Nurhaliza terlibat kemalangan di lebuhraya MEX, cedera bengkak bahagian kaki

KUALA LUMPUR – Biduanita Negara, Siti Nurhaliza, terlibat dalam...

Adegan teater tidak selaras dengan skrip asal – UM

KUALA LUMPUR – Universiti Malaya (UM) memandang serius isu...

Walaupun hanya lakonan tapi ini dah melampau, teater universiti cetus perdebatan

KUALA LUMPUR – Satu pementasan teater di sebuah universiti...

Akaun palsu guna nama dan logo MYBERITA, orang ramai diminta berwaspada

KUALA LUMPUR - Portal berita MYBERITA memandang serius tindakan...

PMX balas hadiah duit raya dua beradik dengan iPad

TERENGGANU - Keikhlasan dua beradik yang menghadiahkan duit raya...