Friday, 24 July 2026
spot_img
HiburanNabil Ahmad tukar rumah pusaka jadi madrasah atas permintaan ibu

Nabil Ahmad tukar rumah pusaka jadi madrasah atas permintaan ibu

KUALA LUMPUR – Pelawak dan pengacara terkenal, Nabil Ahmad, menyatakan hasrat murninya untuk menjadikan rumah pusaka milik keluarga sebagai madrasah, dengan kos pembinaan semula dianggarkan mencecah hampir RM500,000.

Nabil atau nama penuhnya Ahmad Nabil Ahmad, 42, berkata projek tersebut akan dibangunkan di atas sebidang tanah milik keluarga seluas satu ekar setengah di Mambau, Negeri Sembilan.

“Tanah ini saya akan manfaatkan sepenuhnya. Kos pembinaan termasuk madrasah, tempat tinggal ustaz, pelajar dan ruang untuk orang datang mengaji adalah sekitar RM500,000.

“Buat masa ini, saya membiayainya sendiri, tetapi insya-Allah akan buka ruang kepada orang ramai yang ingin turut menyumbang,” katanya.

Nabil berkata, idea membina madrasah tercetus daripada permintaan ibunya, Rohaizah Abdul Latiff, yang kini menjalani rawatan dialisis sejak lapan tahun lalu.

“Ibu selalu tanya tentang madrasah. Dia dah semakin tua dan ingin buat bekalan akhirat. Jadi saya usahakan supaya pembinaan dapat dimulakan segera. Kalau umur dia panjang, saya nak dia lihat sendiri proses pembinaan sehingga pelajar mula belajar di situ,” ujarnya usai sidang akhbar The Chosen One Xtra X Jutawan Ekpress .

Tambah Nabil, ramai yang menghubunginya sebaik sahaja dia menyuarakan hasrat membina madrasah dan menyatakan minat untuk sama-sama menjayakan projek tersebut.

Terdahulu, Nabil turut berkongsi kenangan membesar di rumah pusaka itu bersama ahli keluarga yang lain, dan bertekad untuk menjadikan ia tempat bermanfaat kepada masyarakat.

Dalam perkembangan lain, Nabil bakal muncul sebagai pengacara program realiti The Chosen One Xtra bersama pelakon dan penyampai radio, Sharifah Shahirah.

Program yang mengetengahkan bakat kanak-kanak dalam bidang nyanyian, tarian, akrobatik dan muzik itu bakal bersiaran langsung bermula 25 Julai ini, setiap Jumaat, jam 9 malam di Astro Ceria dan Astro Ria.

-Iklan-
ARTIKEL BERKAITAN
-Iklan-