SHAH ALAM – Seorang penggali kubur mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun pada Jumaat lalu.
Tertuduh, Muhammed Syahril Reza Omar, 43, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Nabisha Ibrahim.
Mengikut pertuduhan, bapa kepada tiga anak itu didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa dengan mencium muka dan leher kanak-kanak tersebut di dalam tandas wanita sebuah masjid pada pukul 12.30 tengah hari, 11 Julai 2025.
Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 792) yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.
Pegawai Pendakwa, Asisten Superintenden Shabani Bahari mencadangkan jaminan sebanyak RM30,000 dikenakan terhadap tertuduh, selain syarat tambahan supaya tidak mengganggu mangsa dan melapor diri di balai polis terdekat pada setiap awal bulan.
Namun, peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Syed Saifullizan Syed Abd. Razak memohon jumlah jaminan minimum memandangkan tertuduh yang juga seorang duda hanya menerima elaun bulanan RM400 sebagai penggali kubur dan perlu menyara tiga anak berusia 19, 14 dan lapan tahun.
“Tertuduh berjanji untuk mematuhi semua syarat tambahan yang dicadangkan pihak pendakwaan,” katanya.
Hakim kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan iaitu tidak mengganggu mangsa dan perlu melapor diri di balai polis terdekat setiap bulan sehingga kes selesai.
Mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada tarikh akan dimaklumkan.

