JELEBU – Buat julung kalinya, pasukan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) menerima panggilan kecemasan bagi menyelamatkan sebuah telefon pintar jenis iPhone yang terjatuh di kawasan curam bukit di sini.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Jelebu, Leftenan (PA) Mohd. Najib Abdul Karim berkata, panggilan tersebut diterima pada pukul 11.45 pagi, 12 Julai lalu daripada seorang wanita berusia dalam lingkungan 20-an yang memohon bantuan untuk mengambil semula telefonnya.
“Setibanya pasukan APM di lokasi kejadian di Bukit Batu Sawa, kami dapati wanita terbabit dan rakannya sudah menunggu. Anggota kami memakai peralatan perlindungan diri (PPE) dan menyediakan kelengkapan untuk turun ke kawasan curam tersebut.
“Kedalaman curam dianggarkan kira-kira 10 meter dan permukaannya licin kerana berbatu. Operasi berjalan lancar dan telefon pintar itu berjaya dibawa naik serta diserahkan semula kepada pemiliknya,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Tambah beliau, operasi berakhir pada pukul 1.38 tengah hari tanpa sebarang insiden tidak diingini.
Menurut Mohd. Najib, permintaan seperti itu merupakan sesuatu yang luar biasa kerana pihak APM biasanya menerima panggilan melibatkan kes kecemasan seperti kemalangan, banjir dan bencana lain.
“Ini kali pertama kami menerima permintaan khas bagi menyelamatkan barangan peribadi seperti telefon. Bagaimanapun, kami tetap melaksanakan tugas dengan penuh profesional demi keselamatan dan kepuasan rakyat,” ujarnya.

