SUNGAI PETANI – Seorang pelajar lelaki tingkatan tiga cedera selepas dipercayai dipukul rakan sekelas dalam satu kejadian di sebuah sekolah menengah di sini, kira-kira jam 12.20 tengah hari tadi.
Kejadian itu mengakibatkan mangsa mengalami kecederaan pada mata kiri, sakit kepala dan muntah-muntah sebelum dikejarkan ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) untuk rawatan lanjut.
Bapa mangsa yang merupakan seorang mekanik berkata, dia menerima panggilan telefon daripada guru sekolah meminta datang segera untuk membawa anaknya pulang.
“Sebaik tiba di sekolah, saya dapati anak saya dalam keadaan lemah, muntah-muntah serta mengalami bengkak pada mata kiri dan mengadu sakit kepala. Anak saya memberitahu dia telah dipukul oleh rakan sekelas.
“Saya terus membawanya ke hospital untuk rawatan sebelum membuat laporan polis di Balai Polis Sungai Petani petang ini,” katanya ketika dihubungi.
Menurutnya, kejadian dikatakan berlaku ketika anaknya kembali ke kelas selepas menjalani pemeriksaan mata bersama pelajar lain di dewan sekolah.
“Anak saya membaca buku di kelas sebelum beberapa rakan datang dan mengganggunya. Bagi mengelak terus diganggu, dia menolak salah seorang daripada mereka, namun tindakan itu membawa kepada serangan fizikal oleh beberapa pelajar,” dakwanya.
Tambahnya, ketika kejadian terdapat seorang guru ganti wanita yang cuba meleraikan pergaduhan tersebut.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian.
Katanya, beberapa pelajar telah ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan.


