Sabtu, 13 Jun 2026

Ratusan sertai himpunan ‘Justice for Zara Qairina’ di hadapan Sogo

KUALA LUMPUR – Ratusan peserta berhimpun secara aman di hadapan pusat membeli-belah Sogo, pada Jumaat bagi menyatakan solidariti dan menuntut keadilan untuk Allahyarham Zara Qairina Mahathir.

Peserta mula berkumpul seawal jam 7 malam sebelum menunaikan solat Maghrib secara berjemaah.

Program diteruskan dengan bacaan Yasin, diikuti ucapan daripada beberapa aktivis masyarakat yang menzahirkan tuntutan agar pembelaan sewajarnya diberikan kepada pelajar berusia 13 tahun itu.

Mereka turut membawa kain rentang dan poster dengan mesej seperti “Banteras Pembuli”“Kami Mahukan Keadilan Untuk Zara” dan “Al-Fatihah Untuk Zara”.

Pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut dikerahkan bagi mengawal lalu lintas dan keselamatan kawasan sekitar lokasi himpunan.

Tinjauan di media sosial mendapati himpunan serupa turut diadakan di Putrajaya dan Kepala Batas, Pulau Pinang. Media melaporkan, siri himpunan tersebut akan diteruskan pada Sabtu ini di Dataran Merdeka sekitar jam 8 malam.

Allahyarham Zara Qairina, pelajar Tingkatan Satu SMKA Tun Datu Mustapha, Papar, Sabah, ditemui tidak sedarkan diri berhampiran longkang asrama sekolah sekitar jam 4 pagi pada 16 Julai lalu, sebelum disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu, pada 17 Julai.

Pada 8 Ogos, kubur mangsa digali semula atas arahan Jabatan Peguam Negara (AGC) dan bedah siasat dilakukan sehari kemudian. Laporan awal forensik mendapati kematian disebabkan kecederaan otak teruk konsisten dengan kesan jatuh dari aras tinggi, selain siasatan terhadap kemungkinan wujud unsur buli.

Sehingga kini, polis telah mengambil lebih 80 keterangan saksi termasuk pelajar, manakala AGC mengumumkan inkuiri penuh akan dijalankan di mahkamah koroner bagi menentukan punca sebenar kematian.

Kementerian Pendidikan turut memindahkan beberapa pegawai sekolah termasuk pengetua dan warden, selain menyediakan intervensi psikologi kepada lebih 100 pelajar yang terkesan dengan tragedi tersebut.

Wartawan MYBERITA
Wartawan MYBERITA
admin@portalmyberita.com