PUTRAJAYA – Kesungguhan 1,500 murid yang berganding tenaga menghasilkan persembahan ‘Human Graphic’ sempena Sambutan Hari Kebangsaan ke-69 di Dataran Putrajaya mendapat penghargaan Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek.
Fadhlina menyifatkan komitmen ditunjukkan murid bersama seluruh warga pendidik dalam menjayakan persembahan berkenaan sebagai sesuatu yang membanggakan dan menyentuh perasaannya.
“Terima kasih anak-anak dan seluruh warga pendidik atas komitmen luar biasa menjayakan persembahan ‘Human Graphic’.
“Bangga. Terharu. Terima kasih kerana memberikan yang terbaik untuk Malaysia,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Persembahan itu menjadi antara tarikan Sambutan Hari Kebangsaan 2026 apabila seramai 1,500 murid membentuk pasukan ‘Human Graphic’ bagi menghasilkan formasi visual yang memeriahkan acara di Dataran Putrajaya.
Kejayaan tersebut turut mencerminkan hasil latihan dan koordinasi melibatkan murid daripada pelbagai sekolah yang mempunyai tahap kebolehan serta pengalaman berbeza.
Jurulatih Utama Segmen Human Graphic Kementerian Pendidikan, Nur Haslim Dawid Ahmad Suiduddin Muhammad berkata, menyatukan peserta dengan latar belakang berbeza menjadi antara cabaran utama sepanjang persiapan persembahan berkenaan.
Menurutnya, proses membentuk keserasian dalam kalangan murid memerlukan penyelarasan rapi bagi memastikan setiap pergerakan dan formasi dapat dilaksanakan dengan baik.
Persembahan ‘Human Graphic’ itu merupakan antara pengisian yang mencuri perhatian pada Sambutan Hari Kebangsaan ke-69 yang menghimpunkan rakyat di Dataran Putrajaya.
