JOHOR BAHRU – Operator air Johor, Ranhill SAJ Sdn. Bhd., menganjurkan solat sunat istisqa di kawasan Loji Rawatan Air (LRA) Sultan Ismail, Skudai pagi Jumaat, sebagai ikhtiar memohon hujan dan pemulihan sumber air mentah yang terjejas akibat pencemaran.
Solat sunat berkenaan diadakan susulan pencemaran ammonia yang menjejaskan kawasan tadahan air di Skudai dan menyebabkan gangguan bekalan sejak Rabu lalu.
Menurut kenyataan Ranhill SAJ, solat sunat istisqa itu merupakan salah satu ikhtiar rohani bagi memohon agar pencemaran yang berlaku dapat segera diatasi demi kesejahteraan pengguna yang terjejas.
“Langkah ini adalah sebahagian daripada usaha memohon pertolongan daripada Allah SWT agar sumber air mentah kembali pulih dan dapat diproses semula untuk bekalan kepada penduduk,” menurut kenyataan tersebut.
Setakat ini, jumlah akaun pengguna yang terjejas akibat gangguan bekalan air telah berkurangan kepada kira-kira 1,000 akaun berbanding 6,000 akaun sebelum ini.
Ranhill SAJ turut berharap agar doa dan usaha ini membawa keberkatan kepada semua pihak yang terlibat, terutamanya dalam keadaan cuaca panas berpanjangan yang turut memburukkan krisis bekalan air.
Solat berkenaan dipimpin oleh guru takmir Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ), Mohd Zunnurain Abdul Khohar, dan disertai kakitangan Ranhill SAJ serta penduduk setempat.
Inisiatif ini turut mencerminkan komitmen bersepadu antara agensi dan komuniti dalam menangani isu bekalan air bukan sahaja melalui pendekatan teknikal, malah menerusi ikhtiar spiritual.
Orang ramai dinasihatkan untuk terus berjimat cermat menggunakan air sepanjang tempoh pemulihan bekalan.

