KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang menjalankan siasatan terhadap tindakan peserta Himpunan Turun Anwar yang membawa dan menyebat patung menyerupai Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam perhimpunan yang berlangsung di ibu negara pada Sabtu lalu.
Pemangku Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad berkata, kes berkenaan kini disiasat oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman mengikut beberapa peruntukan undang-undang.
“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 41 Akta Hasutan, Seksyen 504 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya dalam satu sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, pada Isnin.
Beliau berkata, polis telah mengesan patung berkenaan di sekitar kawasan Masjid Negara dan turut merakam video sebagai bahan bukti siasatan.
“Seperti yang kita jelaskan sebelum ini, sekiranya terdapat sebarang salah laku yang melanggar undang-undang di bawah mana-mana akta, kita akan ambil tindakan,” katanya.
Mohamed Usuf memaklumkan bahawa sebanyak empat laporan polis diterima berkaitan himpunan tersebut.
“Satu kes melibatkan patung menyerupai Perdana Menteri disiasat oleh USJT, manakala tiga lagi laporan dirujuk kepada Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) kerana melibatkan penerbangan dron yang tidak dibenarkan,” ujarnya.
Tambah beliau, setakat ini pihak polis belum menerima sebarang laporan berkaitan dakwaan penyebaran risalah berunsur ekstremis semasa perhimpunan berkenaan.
“Setakat ini tiada laporan polis. Jika ada laporan, kita akan siasat,” katanya.
Seramai kira-kira 18,000 orang dilaporkan hadir menyertai perhimpunan aman Himpunan Turun Anwar yang berlangsung di Dataran Merdeka, Sabtu lalu.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail memaklumkan bahawa semua elemen kawalan keselamatan sepanjang himpunan tersebut dilaksanakan secara profesional dan beretika oleh pihak polis.

