Bukan setiap hari kongsi foto anak, Nabila Razali risau penyakit ain

KUALA LUMPUR – Penyanyi dan pelakon popular, Nabila Razali mendedahkan bahawa dia lebih berhati-hati berkongsi foto anak lelakinya, Nik Muhammad Nik Iruwan, di media sosial kerana bimbang dengan penangan penyakit ain.

Nabila atau nama sebenarnya Nur Nabila Mohd Razali, 33, berkata meskipun beliau menghormati permintaan peminat yang mahu melihat wajah anaknya, kerisauan terhadap penyakit ain masih membelenggu dirinya hingga ke hari ini.

“Ya, sehingga sekarang masih ada kerisauan itu setiap kali memuat naik foto anak. Sebelum ini, saya kongsi gambar kerana mahu menunaikan permintaan peminat. Rasa tidak elok pula biarkan peminat tertunggu-tunggu.

“Tapi saya memilih waktu yang sesuai untuk berkongsi. Bukan setiap hari saya muat naik kandungan tentang anak,” katanya ketika ditemui pada sidang media siri mini drama McDonald’s, Senyuman di Sini, hari ini.

Tambah Nabila, walaupun beliau cuba untuk mengelak, penyakit ain bukan sesuatu yang mudah ditepis dan hanya doa serta perlindungan Tuhan menjadi harapannya.

“Kadang-kadang saya kongsi juga, tetapi penyakit ain itu memang sukar nak dielakkan. Niat orang kita memang tidak tahu.

“Kita hanya mampu berdoa supaya mereka jadikan foto yang saya kongsi sebagai tatapan sahaja, bukan dengan niat lain. Saya sendiri tiada niat untuk menunjuk atau bermegah,” ujarnya jujur.

Mengulas sama ada beliau merancang untuk membuka akaun media sosial khas untuk anaknya, Nabila tidak menolak kemungkinan tersebut namun menyatakan bukan dalam masa terdekat.

“Buat masa sekarang, saya masih belum terfikir lagi kerana mahu menjaga privasi anak dan keluarga kecil saya. Kalau dah sampai masanya nanti, saya akan buka akaun Instagram untuk dia,” katanya.

Terdahulu, wajah anak sulung Nabila akhirnya didedahkan kepada umum sempena majlis akikah dan sambutan Hari Raya Aidiladha yang berlangsung di Kota Bharu, Kelantan pada Jun lalu.

BACA JUGA:  Isu jiran ‘dari neraka’, penduduk gesa tindakan tegas elak konflik kejiranan berulang

Nabila mendirikan rumah tangga bersama suaminya, Nik Iruwan Nik Izani, pada Disember 2023 dan selamat melahirkan cahaya mata lelaki sulung pada 23 Disember 2024 di sebuah pusat perubatan swasta di Lembah Klang.

Hazriena Hamdan
Hazriena Hamdan
hazriena@portalmyberita.com

TRENDING

Siti Nurhaliza terlibat kemalangan di lebuhraya MEX, cedera bengkak bahagian kaki

KUALA LUMPUR – Biduanita Negara, Siti Nurhaliza, terlibat dalam...

Adegan teater tidak selaras dengan skrip asal – UM

KUALA LUMPUR – Universiti Malaya (UM) memandang serius isu...

Walaupun hanya lakonan tapi ini dah melampau, teater universiti cetus perdebatan

KUALA LUMPUR – Satu pementasan teater di sebuah universiti...

Akaun palsu guna nama dan logo MYBERITA, orang ramai diminta berwaspada

KUALA LUMPUR - Portal berita MYBERITA memandang serius tindakan...

PMX balas hadiah duit raya dua beradik dengan iPad

TERENGGANU - Keikhlasan dua beradik yang menghadiahkan duit raya...