“Saya tak takut, negara kita ada undang-undang” – Fattah Amin

PUTRAJAYA – Pelakon popular, Fattah Amin tampil menafikan dakwaan curang dan kewujudan orang ketiga yang didakwa menjadi punca perceraian dengan aktres Nur Fazura, sambil menyifatkan tuduhan itu sebagai tidak berasas dan berniat mencemarkan reputasinya.

Menurut Fattah atau nama sebenarnya Abdul Fattah Mohd. Amin, 35, beliau dan pasukan pengurusannya kini dalam proses mengambil tindakan undang-undang terhadap individu yang menyebarkan dakwaan palsu itu.

“Ya, memang ada pihak yang cuba nak mencalarkan nama dan reputasi saya. Ada peminat yang maklumkan mengenai perkara itu. Tapi saya tak takut, negara kita ada undang-undang,” katanya ketika ditemui pada majlis Anugerah Melodi Terhangat 2025 (AMT2025) yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), malam tadi.

Fattah turut memaklumkan bahawa pihak pengurusannya sedang menguruskan hal tersebut secara serius menerusi saluran undang-undang yang betul.

Memenangi trofi Selebriti Maskulin Terhangat pada malam anugerah tersebut, Fattah menganggap kontroversi yang dihadapi sebagai satu lumrah dalam dunia seni.

“Saya anggap ini lumrah sebagai selebriti. Kita tak boleh harap 10 atau 15 tahun dalam industri ini semuanya positif. Ada masa, ada individu yang tak senang tengok kejayaan orang lain, cuma saya takkan terlalu fokus pada benda-benda tu,” ujarnya.

Tambah bapa kepada seorang cahaya mata itu, beliau kini memilih untuk menumpukan sepenuh perhatian kepada kerjaya dan menghargai sokongan peminat yang masih teguh bersamanya.

“Saya akan terus bekerja. Benda-benda yang tak betul ini, kita sudah serahkan kepada pengurusan dan undang-undang. Kalau cerita-cerita macam ini mula mengganggu kerjaya seni saya, memang perlu ambil tindakan tegas,” tegasnya.

Berbicara mengenai kemenangan berdasarkan undian awam, pelakon filem Trinil itu berterima kasih kepada peminat yang tidak putus memberi sokongan.

BACA JUGA:  Emma Maembong pilih ‘senyap’ di media sosial demi jaga mental

“Terima kasih kepada mereka yang mengundi saya. Dalam industri ini kita umpama peniaga dan peminat adalah pembeli, jadi kita kena pastikan jual produk yang bagus. Apa pun semua calon dalam kategori ini ada keistimewaan masing-masing. Saya anggap mereka sebagai abang-abang saya dalam industri,” katanya lagi.

Baru-baru ini, tular kembali dakwaan kononnya perkahwinan Fattah dengan Fazura yang berakhir pada 7 Oktober 2024 disebabkan kehadiran orang ketiga.

Pasangan selebriti itu mendirikan rumah tangga pada 27 November 2017 dan hasil perkahwinan mereka dikurniakan seorang anak perempuan, Nur Fatima Aisya yang kini berusia lima tahun.

Adam Hafiz
Adam Hafiz
adamhafiz@portalmyberita.com

TRENDING

Siti Nurhaliza terlibat kemalangan di lebuhraya MEX, cedera bengkak bahagian kaki

KUALA LUMPUR – Biduanita Negara, Siti Nurhaliza, terlibat dalam...

Adegan teater tidak selaras dengan skrip asal – UM

KUALA LUMPUR – Universiti Malaya (UM) memandang serius isu...

Walaupun hanya lakonan tapi ini dah melampau, teater universiti cetus perdebatan

KUALA LUMPUR – Satu pementasan teater di sebuah universiti...

Akaun palsu guna nama dan logo MYBERITA, orang ramai diminta berwaspada

KUALA LUMPUR - Portal berita MYBERITA memandang serius tindakan...

PMX balas hadiah duit raya dua beradik dengan iPad

TERENGGANU - Keikhlasan dua beradik yang menghadiahkan duit raya...