KUALA LUMPUR – Tiga remaja yang tular dalam rakaman video didakwa memberi makanan berupa nasi bersama sisa tulang ayam kepada seorang lelaki gelandangan tampil membuat permohonan maaf secara terbuka susulan kecaman hebat netizen.
Salah seorang daripada remaja terbabit tampil menjelaskan bahawa video berkenaan sebenarnya adalah sebahagian daripada kandungan berbentuk eksperimen sosial, dan dilakukan dengan persetujuan lelaki gelandangan itu sendiri.
“Pada hari ini, saya ingin memberi penjelasan berkenaan insiden tulang ayam. Disebabkan video itu, orang ramai menyangka kami memberi makan tulang ayam kepada gelandangan tersebut.
“Kami tidak memberikan tulang ayam kepadanya untuk dimakan. Pada mulanya, kami mengikuti lelaki gelandangan itu. Ia satu rancangan pembikinan video, dan kami kemudiannya memberikan set lengkap nasi dan dua ketul ayam kepadanya,” katanya dalam satu hantaran video permohonan maaf yang dimuat naik di media sosial pada Isnin.
Sebelum ini, tular sebuah video berdurasi kurang seminit memaparkan ketiga-tiga remaja berkenaan sedang menikmati ayam goreng dari sebuah restoran makanan segera sebelum memasukkan sisa tulang ke dalam bungkusan nasi dan menyerahkannya kepada lelaki gelandangan terbabit.
Wajah lelaki berkenaan kelihatan terkejut apabila membuka bungkusan tersebut, namun tetap mengucapkan terima kasih kepada pemberi makanan itu, sekali gus menimbulkan kemarahan warganet yang menyifatkan tindakan tersebut sebagai tidak berperikemanusiaan dan menghina golongan kurang bernasib baik.
Mengulas lanjut, remaja itu berkata objektif mereka sejak awal adalah untuk membantu komuniti serta meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kehidupan gelandangan, dan lelaki berkenaan telah diminta untuk terlibat dalam pembikinan video tersebut.
“Lelaki itu bersetuju dan kami berlakon bersama-sama, rakam video berkenaan dan memang betul-betul beri nasi lengkap dengan ayam, bukannya nasi bersama tulang ayam,” katanya.
Sehubungan itu, mereka merayu agar diberi peluang kedua dan berharap masyarakat tidak terus mengecam mereka.
“Kami harap anda memberi kami peluang yang lebih baik untuk membalas kepada masyarakat. Kami berjanji akan melakukan lebih banyak perkara baik, iaitu membantu gelandangan.
“Jadi, kami mohon maaf kepada semua,” tambahnya.
Sementara itu, susulan penularan video tersebut, beberapa pihak termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semambu telah membuat laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) serta menggesa siasatan segera dilakukan terhadap insiden berkenaan.

