KUALA LUMPUR – Empat remaja yang disyaki terbabit dalam dua kes buli berasingan di daerah Sungai Petani bulan lalu, didakwa di Mahkamah Majistret, Rabu ini.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan berkata, semua remaja terbabit sebelum ini sudah diambil keterangan dan dibebaskan dengan jaminan polis.
“Satu kes akan didakwa mengikut Seksyen 323 dan Seksyen 342 Kanun Keseksaan, manakala kes kedua mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan, Rabu ini.
Dalam kejadian pertama pada 14 Julai lalu, seorang pelajar perempuan Tingkatan Satu ditemukan dalam keadaan tangan dan kaki diikat tali leher serta mulut ditutup sapu tangan, dipercayai dibuli akibat cemburu oleh dua rakan sekolahnya.
Mangsa ditemui di tandas sekolah selepas ibunya, yang gagal menemui anaknya ketika menjemput pulang sekitar jam 6.30 petang, meminta bantuan pengawal keselamatan sekolah.
Bagi kejadian kedua pada 21 Julai lalu, dua pelajar lelaki Tingkatan Tiga didakwa menumbuk rakan sebaya mereka di sebuah sekolah menengah di sini. Kejadian disedari bapa mangsa selepas dihubungi guru yang meminta mengambil anaknya dari sekolah pada jam 12.30 tengah hari.


