Rabu | 5 November 2025
spot_img

Genap setahun tanpa abang, Aufahanie kenang pemergian Nidza Afham

KUALA LUMPUR – Genap setahun pemergian Muhammad Nidza Afham Mokhtar, abang kepada penyanyi, Aufahanie Mokhtar, namun bayangan arwah kekal segar dalam ingatan keluarga dan para peminat.

Coretan penuh kerinduan Aufahanie di laman Instagram hari ini menjadi pengubat rindu yang tidak pernah padam.

“365 days without you, without your smile. You never left my mind. I miss you my bestfriend, my Abang Syurga. Rindu sangat-sangat, sakit. Al-Fatihah,” tulisnya.

Tragedi yang berlaku pada 13 Ogos 2024, sekitar jam 7.45 malam, beliau dilaporkan meninggalkan rumah keluarga di Bandar Puteri, Klang, menaiki perkhidmatan e-hailing ke Stadium Sultan Suleiman untuk berjoging. Ketika itu, beliau memakai jersi berwarna gelap dengan nombor 56 di bahagian belakang.

Beberapa jam kemudian, usaha keluarga untuk menghubunginya gagal apabila panggilan telefon dan mesej tidak berbalas. Dengan bantuan aplikasi ‘Find My’, lokasi terakhir Nidza dikesan berdekatan Jambatan Sungai Klang. Ahli keluarga yang bergegas ke lokasi menemui telefon bimbit dan dompetnya, namun kad debit dan wang tunai didapati tiada.

Laporan polis dibuat kira-kira jam 4.22 pagi keesokan harinya di Balai Polis Klang. Operasi pencarian dilancarkan segera, dan pada petang 14 Ogos 2024, pasukan bomba menemui mayat seorang lelaki di perairan berhampiran jambatan berkenaan, dengan pakaian yang sama seperti malam beliau dilaporkan hilang.

Hasil bedah siasat yang dijalankan pada 15 Ogos 2024 mendapati tiada kecederaan fizikal pada tubuh mangsa. Polis mengklasifikasikan kes sebagai mati mengejut (SDR) dan menolak sebarang unsur jenayah. Aufahanie sebelum ini turut menegaskan bahawa pihaknya menolak spekulasi tidak berasas berhubung punca kematian abangnya, sambil meminta orang ramai menghormati privasi keluarga.

Nidza Afham dikenali sebagai penyanyi berbakat yang pernah menyertai program I Can See Your Voice Malaysia musim ketiga bersama Aufahanie. Nyanyian cover beliau bagi lagu “Rindu Setengah Mati” meraih jutaan tontonan di YouTube, selain terlibat dalam projek muzik bersama rakan-rakan dengan menghasilkan lagu seperti “OY”, “Bayangan”, “Ternyata Bukan Aku” dan “Aidilfitri”.

Setahun berlalu, nama Nidza terus disebut dalam industri seni sebagai bakat muda yang pergi terlalu awal, namun meninggalkan legasi tersendiri. Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang beriman.

Adam Hafiz
Adam Hafiz
adamhafiz@portalmyberita.com
ARTIKEL BERKAITAN
Iklan