KUALA LUMPUR – Penyanyi popular, Shiha Zikir menitipkan pesanan buat pendatang baharu, Amad Dayyan agar lebih berhati-hati dalam percakapan, terutama ketika berdepan dengan individu yang lebih dewasa dalam industri hiburan.
Pemilik nama sebenar Nurshiha Mohd Zikir, 37, menegaskan anak seni muda seharusnya menjaga batas ketika berbicara agar tidak menyinggung perasaan pihak lain tanpa disedari.
“Jangan cakap begitu dengan orang lain, tidak boleh cakap ‘awak ini, awak itu’. Sebab Amad masih muda dan baharu.
“Amad kena pandai jaga tutur dan adab, kena ‘humble’. Mungkin kalau Amad jumpa orang lain yang lebih tegas daripada saya, siaplah Ahmad,” katanya.
Nasihat itu diberikan ketika Shiha dan Amad sedang menjalani latihan bersama di sebuah studio baru-baru ini.
Difahamkan, situasi berkenaan tercetus apabila Amad secara spontan menegur Shiha selepas penyanyi itu tersalah lirik sewaktu menyanyikan lagu 7 Nasihat.
Namun, anak kepada penyanyi Siti Saerah itu segera memohon maaf kepada Shiha sejurus menyedari tindakannya.
Mengulas lanjut, Shiha menasihatkan Amad supaya lebih berlapang dada dan tidak cepat menegur orang lain, sebaliknya memberi tumpuan kepada peningkatan dirinya sendiri.
“Walau orang itu buat silap macam mana pun, Amad kena fokus dengan diri Amad sahaja. Janji dengan saya tidak akan ulangi kesalahan sama dengan orang lain,” pesan Shiha.

