Ramli MS rajin buat kajian sebelum masak, asam pedas jadi kegemaran Alyah

PUTRAJAYA – Penyanyi Datin Alyah mendedahkan suaminya, pengarah muzik tersohor Datuk Ramli MS, seorang yang sangat cerewet dan teliti apabila menyentuh soal makanan, lebih-lebih lagi di dapur.

Menurut Alyah atau nama sebenarnya Noor Hasliah Abu Hasan, 44, Ramli bukan sahaja mempunyai cita rasa tinggi, malah turut melakukan kajian setiap kali memasak.

“Dia memang sangat cerewet bab makanan. Tambah pula dia pandai memasak. Dalam masa sama, dia suka buat kajian pula masa masak tu,” katanya kepada MYBERITA, Sabtu lalu.

Berkongsi lanjut, Alyah berkata menu yang paling digemari dan sering dimasak oleh suaminya ialah asam pedas, yang menjadi hidangan wajib di rumah mereka hampir setiap minggu.

“Asam pedas tu memang wajib. Dari awal kahwin sampai sekarang, setiap minggu mesti ada. Tapi setiap kali masak, dia tetap kaji untuk tahu jenis cili mana lebih sedap, ikan mana paling sesuai,” jelasnya.

Dalam nada berseloroh, Alyah menyifatkan dirinya sebagai ‘tikus makmal’ dalam eksperimen masakan Ramli yang gemar mencuba pelbagai ramuan serta teknik baru.

“Saya tak jumpa lagi asam pedas yang sedap seperti dia buat. Bukan sebab dia suami saya, tapi sebab hasil kajian dia tu memang luar biasa. Dengan semua kajian yang dia buat selama ni, boleh dikatakan saya ni macam tikus makmal!” katanya sambil ketawa.

Untuk rekod, Alyah dan Ramli mendirikan rumah tangga pada Mac 2013 dan pasangan ini turut mengambil seorang anak angkat bernama Nur Izzara.

BACA JUGA:  Tak guna khidmat ‘catering’, lelaki gigih masak 11 menu untuk rumah terbuka
Hazriena Hamdan
Hazriena Hamdan
hazriena@portalmyberita.com