PUTRAJAYA – Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan teknologi baharu seperti kecerdasan buatan (AI) dan pengkomputeran awan perlu ditangani menerusi lensa keselamatan siber demi memastikan maklumat serta aset strategik negara dilindungi.
Perdana Menteri berkata, Malaysia tidak boleh terus bergantung kepada teknologi asing, sebaliknya mesti membina keupayaan dalaman termasuk pengkomputeran awan berdaulat bagi memperkukuh kedaulatan digital negara.
“Sewaktu mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Keselamatan Siber Negara (JKSN) Bilangan 2 Tahun 2025 hari ini, saya tekankan keperluan untuk teknologi baharu seperti kecerdasan buatan (AI) dan pengkomputeran awan ditangani menerusi lensa keselamatan.
“Negara tidak boleh terus bergantung kepada teknologi asing, sebaliknya perlu membina keupayaan dalaman termasuk pengkomputeran awan berdaulat bagi melindungi maklumat terperingkat dan aset strategik negara,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.
Anwar turut menegaskan kerajaan akan terus memperkukuh benteng siber negara melalui perlindungan infrastruktur kritikal, meningkatkan kesedaran awam, serta memperkukuh kerjasama antara agensi kerajaan, sektor swasta dan rakan antarabangsa.
Beliau memaklumkan Rang Undang-Undang (RUU) Jenayah Siber juga akan dibentangkan di Parlimen hujung tahun ini sebagai langkah memperkukuh aspek perundangan keselamatan digital negara.
Selain itu, Perdana Menteri menekankan kepentingan setiap individu dalam melindungi data peribadi ketika berurusan dalam talian, sambil mendedahkan pendaftaran MyDigital ID kini mencatat purata 25,000 pengguna sehari hasil integrasi dengan aplikasi kerajaan seperti MyJPJ, MySejahtera, MyBayar PDRM dan MyGOV.
Komitmen Malaysia di peringkat global turut dizahirkan apabila negara bakal menandatangani Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai jenayah siber di Hanoi, Vietnam dalam masa terdekat sebagai bukti kesungguhan memperkukuh kerjasama antarabangsa menentang jenayah digital.
Mesyuarat JKSN pada masa sama turut menegaskan kepentingan pembangunan teknologi kriptografi pasca-kuantum (PQC) bersama Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA), penyelidik dan industri, yang diyakini mampu memperkukuh perlindungan infrastruktur kritikal serta membendung ancaman jenayah siber pada masa hadapan.

