KUALA LUMPUR – Polis Kuala Lumpur mengesahkan dua kes kematian penuntut Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) yang terjatuh dari sebuah kondominium di Taman Melati, di sini, Rabu lalu, disahkan sebagai kematian mengejut (SDR).
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, kedua-dua insiden berlaku dalam tempoh 24 jam di bangunan kondominium sama membabitkan seorang penuntut wanita berusia 22 tahun dan seorang penuntut lelaki berusia 21 tahun.
“Dalam kejadian pertama, orang awam melaporkan seorang wanita terjatuh pada jam 6.48 pagi. Mangsa disahkan meninggal dunia dan dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk dibedah siasat. Punca kematian dikenal pasti akibat kecederaan pelbagai kerana jatuh dari tempat tinggi.
“Pemeriksaan di lokasi mendapati tiada unsur jenayah dan kes diklasifikasikan sebagai SDR,” katanya dalam kenyataan Jumaat ini.
Beliau berkata, pada jam 1.57 tengah hari, ibu mangsa wanita berusia 53 tahun tampil membuat laporan polis berhubung ketidakpuasan hati terhadap kejadian itu.
“Pengadu mendakwa anaknya menjadi mangsa buli di sebuah institusi pengajian tinggi swasta (IPTS). Polis membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 507B Kanun Keseksaan dan siasatan lanjut sedang dijalankan,” jelasnya.
Sementara itu, dalam insiden kedua, pihak polis menerima laporan mengenai seorang lelaki berusia 21 tahun yang terjatuh dari bangunan kondominium sama pada jam 9.35 malam.
“Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi. Hasil bedah siasat mendapati punca kematian adalah kecederaan pelbagai akibat jatuh dari tempat tinggi. Tiada unsur jenayah ditemui dan kes turut diklasifikasikan sebagai SDR,” katanya.

