LONDON – Manchester United mengalami satu lagi malam memalukan apabila disingkirkan daripada Piala Liga selepas tewas kepada kelab divisyen keempat, Grimsby Town, menerusi penentuan sepakan penalti 12-11 awal pagi tadi.
Dalam aksi di Blundell Park yang disaksikan lebih 9,000 penyokong tuan rumah, United ketinggalan 0-2 hasil jaringan Charles Vernam dan Tyrell Warren sebelum bangkit lewat menerusi Bryan Mbeumo dan tandukan Harry Maguire pada minit akhir untuk mengikat perlawanan 2-2.
Namun, selepas aksi sepakan penalti yang panjang, Mbeumo menjadi watak duka apabila gagal menyempurnakan tendangan penentuan, sekali gus memberi laluan kepada Grimsby mara ke pusingan seterusnya.
Pengurus United, Ruben Amorim mengakui pasukannya “hilang arah sepenuhnya” dan mengkritik keras prestasi hambar anak buahnya.
“Satu pasukan boleh menang menentang mana-mana kumpulan pemain. Cara kami memulakan perlawanan tanpa intensiti jelas menunjukkan kelemahan,” katanya.
Kekalahan itu menambah tekanan ke atas Amorim yang sudah menerima kritikan selepas permulaan buruk United dalam Liga Perdana Inggeris musim ini tanpa sebarang kemenangan.
United yang menamatkan musim lalu di tangga ke-15 kini berdepan risiko mengharungi satu lagi kempen mengecewakan.
Benjamin Sesko membuat penampilan sulung bernilai £74 juta (RM422 juta) tetapi gagal membantu mengubah nasib pasukan, manakala penjaga gol Andre Onana menjadi punca gol kedua Grimsby apabila gagal menampan bola dengan baik.
Selain United, aksi Piala Liga turut menyaksikan Brighton melangkah ke pusingan ketiga selepas membelasah Oxford 6-0, manakala Fulham dan Everton mencatat kemenangan 2-0 masing-masing ke atas Bristol City dan Mansfield.

