KUALA LUMPUR – Penyanyi berbakat besar, Kael, tampil dengan sisi paling peribadi apabila melancarkan single terbaharu berjudul Angkasa, sebuah balada pop moden penuh romantis yang dihasilkan bersama komposer prolifik Omar K dan penerbit muzik berbakat Iqie Hugh di bawah naungan Alternate Records.
Berbeza dengan karya terdahulu, Angkasa bukan sekadar lagu cinta klise, sebaliknya membawa pendengar menyelami kisah dua jiwa yang saling mencintai tetapi terpisah oleh realiti berbeza diibaratkan seperti siang dan malam yang tetap berkongsi langit yang sama.
Menurut Omar K, mesej utama lagu ini adalah kepercayaan terhadap cinta tulus walaupun berdepan cabaran.
“Jika cinta itu ikhlas, ia akan terus menyatukan secara emosi dan spiritual di ‘angkasa’ yang sama,” katanya.
Dari segi susunan muzik, Angkasa mengetengahkan pendekatan minimalis dengan elemen elektronik beratmosfera yang menyerlahkan keunikan vokal Kael.
Nuansa ‘ethereal’ yang diterapkan menjadikan lagu ini terasa puitis dan menyentuh jiwa.
Antara bait lirik yang menjadi perhatian ialah, “Walau Bulan Dan Matahari Berbeza, Kau Pagi Dan Ku Malam, Tetap Di Angkasa Yang Sama…”, menjadikannya ibarat puisi cinta moden.
Kael sendiri terlibat secara langsung dalam penulisan dan gubahan lagu, menyifatkan Angkasa sebagai karya paling tulen dalam kariernya.
“Ia lahir daripada hati saya sendiri, dan cabarannya ialah menterjemahkan emosi itu ke dalam lirik dan melodi yang benar-benar bermakna,” katanya.
Proses pembikinan single ini mengambil masa tiga bulan, manakala rakaman vokal Kael hanya memerlukan sehari berkat kerjasama pasukan produksi.
Omar K pula menyifatkan Kael sebagai artis yang berdisiplin dan bersedia setiap kali di studio.
Bagi Kael, lagu ini bukan sekadar untuk pasangan bercinta, sebaliknya sesuai dimainkan dalam pelbagai situasi penuh kasih sayang.
“Ia juga tentang sahabat, keluarga, atau siapa sahaja yang kita hargai. Saya mahu pendengar merasakan keindahan cinta dalam pelbagai bentuk,” jelasnya.
Dengan hasrat mengangkat nama seni tempatan, Kael berharap Angkasa mampu menembusi pasaran serantau dan membawa muzik Malaysia ke pentas antarabangsa.
Single Angkasa kini boleh didengarkan di semua platform penstriman digital termasuk Spotify dan YouTube Music. Untuk maklumat lanjut mengenai Alternate Records & Talents, ikuti @alternate.my_ di Instagram, @alternate.rt_ di TikTok, dan Facebook rasmi Alternate Records.

