“Kami tak lindungi siapa-siapa” – Ketua Warden tolak dakwaan tutup kes Zara Qairina

KOTA KINABALU – Suasana Mahkamah Koroner di sini hari ini menjadi sebak apabila saksi kelapan inkues, Azhari Abd Sagap, menitiskan air mata ketika menafikan dakwaan bahawa Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha cuba menyembunyikan kebenaran berhubung kematian pelajarnya, Allahyarham Zara Qairina Mahathir.

Azhari yang juga Ketua Warden sekolah itu berkata, beliau dan pihak sekolah tidak pernah melindungi mana-mana individu, sebaliknya sentiasa memberikan kerjasama penuh kepada pihak polis sejak hari kejadian pada 16 Julai lalu.

“Kalau kami mahu melindungi pembuli atau pembunuh Zara, saya tidak akan ceritakan apa yang berlaku pada malam 15 Julai kepada polis. Saya sendiri berurusan dengan polis, bawa saksi untuk memberi keterangan, malah saya juga yang menyerahkan audio berkaitan ‘Kak M’,” katanya dalam nada sebak.

Beliau menegaskan bahawa ‘Kak M’, yang tular di media sosial, bukanlah pelajar yang dimaksudkan orang ramai. Malah, katanya, tuduhan terhadap pelajar itu sebagai kejam kerana dia sebenarnya seorang pelajar baik yang pernah berjaya menamatkan hafazan al-Quran lebih awal berbanding rakan lain.

“Saya amat terkilan kerana hanya kerana dia pelajar pertama yang menemui Zara, dia terus dituduh kejam. Tuduhan ini tidak adil,” ujarnya sambil menangis.

Menurut Azhari, beliau sendiri yang berusaha membawa Zara ke hospital pada pagi kejadian, menghubungi ambulans, serta menemani arwah dan ibunya di unit kecemasan sehingga ke petang.

“Saya ikut Zara hingga ke bilik forensik, hingga ke liang lahad. Saya tidak tinggalkan ibu Zara kecuali bila perlu beri keterangan kepada polis. Semua siasatan dari IPD Papar hingga Bukit Aman, saya beri kerjasama penuh. Tiada apa yang kami sembunyikan,” katanya.

Azhari, 31, turut menceritakan tekanan yang dihadapi keluarganya selepas insiden itu, termasuk kecaman terhadap isterinya yang baru bertukar ke sekolah sama dua minggu sebelum kejadian.

BACA JUGA:  Bedah siasat sahkan Zara Qairina alami kecederaan otak teruk akibat jatuh

Katanya, beliau sendiri mengenali Zara dengan rapat kerana pernah mengajarnya, malah menyifatkan kehilangan arwah sebagai satu kesedihan besar buat warga sekolah.

“Kalau betul ada derita yang dialami Zara, saya juga mahu tahu dan mencari keadilan. Tetapi mengapa kami pula yang terpaksa berdepan kecaman,” katanya.

Prosiding kemudian ditangguhkan oleh Koroner Amir Shah Amir Hassan untuk rehat tengah hari sebelum disambung pada sesi petang dengan saksi sama.

Hazriena Hamdan
Hazriena Hamdan
hazriena@portalmyberita.com

TRENDING

‘Travel around the world’ warnai Hari Guru Sekolah Sultan Alam Shah 2026

PUTRAJAYA - Sambutan Hari Guru peringkat Sekolah Sultan Alam...

Agong, Raja Permaisuri hargai kesabaran dan jasa guru

KUALA LUMPUR - Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dan...

TARUNG: Unforgiven catat kutipan RM10.5 juta dalam seminggu tayang

KUALA LUMPUR - Filem aksi tempatan, TARUNG: Unforgiven terus...

Giliran Fazley Yaakob, Fariedz pula tersingkir konsert minggu keempat TTMM2

SHAH ALAM - Pasangan bintang program realiti Talk To...

Kes hina Sultan Selangor, “Bukan tangkap hari ini, esok terus tuduh” – Ayob Khan

GEORGE TOWN - Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang melengkapkan...