PM Anwar ke Sabah esok tinjau banjir

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan berangkat ke Sabah esok bagi meninjau situasi banjir yang semakin meruncing di negeri itu, sekali gus menunjukkan keprihatinan kerajaan terhadap nasib ribuan penduduk yang terpaksa dipindahkan.

Keadaan banjir di Sabah dilaporkan bertambah buruk sejak beberapa hari lalu, menyebabkan operasi pemindahan dan penyelamatan giat dijalankan oleh pihak berkuasa.

“Saya akan berada di sana esok,” katanya ringkas ketika ditanya mengenai tindakan kerajaan dalam menangani bencana berkenaan selepas merasmikan Perhimpunan Agung Kesatuan Antara Parlimen ASEAN (AIPA GA) ke-46 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, hari ini.

Dalam pada itu, Anwar turut menekankan bahawa kerajaan tidak hanya memberi fokus kepada isu bencana, tetapi juga memastikan pembangunan negara terus bergerak ke hadapan, khususnya melalui agenda bandar pintar berasaskan prinsip Madani.

Menurutnya, bandar pintar bukan sekadar berkisar kepada teknologi canggih, sebaliknya berperanan meningkatkan kesejahteraan rakyat dengan menekankan aspek kos sara hidup, kemudahan awam dan kualiti hidup.

“Putrajaya akan dijadikan projek perintis melalui pembangunan Kota Madani, manakala Kuala Lumpur pula bakal muncul sebagai hab utama inisiatif bandar pintar. Menjelang 2030, lebih separuh penduduk ASEAN dijangka tinggal di kawasan bandar. Ini menuntut pendekatan baharu dalam pengurusan bandar,” jelasnya.

Anwar turut mengingatkan agar pelaksanaan teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam pembangunan bandar pintar tidak mengabaikan aspek etika, keselamatan siber dan identiti budaya masyarakat.

Untuk menyokong agenda tersebut, kerajaan melalui Digital Nasional Berhad (DNB) telah melancarkan program pendidikan teknologi bagi melatih lebih 40,000 penjawat awam dalam bidang AI, sains data dan tadbir urus digital.

“Malaysia kini mempunyai asas kukuh dengan liputan 5G melebihi 82 peratus, dan dijangka mencecah 98 peratus menjelang Rancangan Malaysia Ke-13. Ini akan mengukuhkan lagi agenda bandar pintar negara,” katanya.

BACA JUGA:  Suami isteri maut, Ford Mustang terbabas ke bahu jalan
Nurazmin Afza
Nurazmin Afza
azminafza@portalmyberita.com

TRENDING

Siti Nurhaliza terlibat kemalangan di lebuhraya MEX, cedera bengkak bahagian kaki

KUALA LUMPUR – Biduanita Negara, Siti Nurhaliza, terlibat dalam...

Adegan teater tidak selaras dengan skrip asal – UM

KUALA LUMPUR – Universiti Malaya (UM) memandang serius isu...

Walaupun hanya lakonan tapi ini dah melampau, teater universiti cetus perdebatan

KUALA LUMPUR – Satu pementasan teater di sebuah universiti...

Akaun palsu guna nama dan logo MYBERITA, orang ramai diminta berwaspada

KUALA LUMPUR - Portal berita MYBERITA memandang serius tindakan...

PMX balas hadiah duit raya dua beradik dengan iPad

TERENGGANU - Keikhlasan dua beradik yang menghadiahkan duit raya...