PUTRAJAYA – Semua institusi pengajian tinggi awam (IPTA) diarahkan memberi kelonggaran dalam urusan pendaftaran kepada pelajar yang terjejas akibat bencana banjir di Sabah.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir berkata, langkah itu penting bagi memastikan pelajar tidak ketinggalan peluang melanjutkan pengajian walaupun berdepan dugaan.
“Kepada para pelajar bakal mahasiswa serta ibu bapa yang sedang berdepan banjir, khususnya yang akan mendaftar masuk ke universiti awam dalam masa terdekat, janganlah bimbang atau gusar.
“Saya telah mengarahkan semua IPTA untuk memberikan kelonggaran dalam urusan pendaftaran kepada pelajar-pelajar yang terlibat dengan bencana ini,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Beliau turut menyeru pelajar yang terkesan agar segera menghubungi universiti masing-masing bagi memaklumkan keadaan sebenar supaya bantuan sewajarnya dapat disalurkan.
Dalam pada itu, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) melalui Majlis Kesukarelawanan Siswa Universiti Malaysia (Maskum) bersama pasukan kesukarelawan IPTA akan digerakkan ke kawasan terjejas bagi melaksanakan kerja-kerja bantuan termasuk sokongan logistik, khidmat komuniti dan pemulihan pasca banjir.
Zambry turut mendoakan agar banjir segera surut dan keadaan kembali pulih seperti sediakala.
Sementara itu, jumlah mangsa banjir di Sabah yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) dilaporkan menurun kepada 2,602 orang daripada 806 keluarga pagi Jumaat, berbanding 3,325 orang daripada 964 keluarga pada petang Khamis.

