Agong ingatkan graduan UPNM tidak leka dalam arus moden

KUALA LUMPUR – Graduan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) diseru untuk meletakkan diri sebagai pembina tamadun unggul dengan memanfaatkan ilmu yang diperoleh demi kemajuan ummah dan negara.

Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, bertitah bahawa graduan UPNM bukan sahaja berperanan sebagai tenaga profesional, tetapi juga pemimpin muda yang bakal mencorakkan masa depan negara.

Seri Paduka menegaskan bahawa ilmu yang dipelajari di universiti adalah amanah besar yang perlu dikembalikan kepada masyarakat.

“Ilmu bukan sekadar untuk kemajuan diri sendiri. Lebih penting ialah cara ilmu tersebut digunakan untuk kebaikan semua. Ini kerana sejarah tamadun Islam membuktikan bahawa ilmu boleh membawa umat daripada kejahilan kepada cahaya kebenaran,” titah Baginda pada Istiadat Konvokesyen UPNM ke-15 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, hari ini.

Baginda menambah bahawa kekuatan sesebuah negara bergantung kepada kualiti graduannya.

“Kuat atau lemah graduan pada hari ini menjadi tanda kepada kejayaan atau kegagalan negara pada masa hadapan. Graduan tidak boleh leka dalam arus kemodenan dan terlibat dalam perkara yang tidak sihat,” titah Baginda lagi.

Sultan Ibrahim turut mengingatkan bahawa negara menaruh harapan tinggi agar graduan menjadi pemimpin muda yang bukan sahaja cemerlang dalam kerjaya, tetapi turut memiliki nilai integriti serta dedikasi dalam berbakti kepada tanah air.

“Graduan adalah aset strategik yang akan memacu negara menuju masa hadapan lebih gemilang. Gunakan ilmu dengan sebaiknya dan jadilah pemimpin muda yang berguna kepada negara,” titah Baginda.

Pada konvokesyen kali ke-15 itu, seramai 1,011 graduan berjaya menamatkan pengajian meliputi 24 graduan doktor falsafah, 54 ijazah sarjana, 783 ijazah sarjana muda serta 149 diploma.

BACA JUGA:  Agong, Raja Permaisuri doa Malaysia terus aman dan makmur pada 2026
Aqilah Nadhirah
Aqilah Nadhirah
aqilahnadhirah@portalmyberita.com

TRENDING

Suspek kes kurung, liwat remaja 14 tahun berjaya diberkas

KUALA LUMPUR - Pemburuan selama lima hari terhadap seorang...

Haroqs hanyutkan coklat ke laut demi anak-anak Gaza

KUALA LUMPUR - Pempengaruh media sosial, Muhammad Hareez Adzrami...

Tiada penyingkiran, Pak Azad & Amarra Sofea terselamat minggu kelima TTMM2

SHAH ALAM - Pasangan Pak Azad dan Amarra Sofea...

‘Travel around the world’ warnai Hari Guru Sekolah Sultan Alam Shah 2026

PUTRAJAYA - Sambutan Hari Guru peringkat Sekolah Sultan Alam...

Aidiladha di Malaysia disambut 27 Mei ini

KUALA LUMPUR - Umat Islam di seluruh Malaysia akan...