KUALA LUMPUR – Bintang muay thai negara, Ahmad Nor Iman Aliff Rakib meneruskan prestasi luar biasa dalam ONE Championship selepas mencatat kemenangan kelima berturut-turut dengan menewaskan petarung Lubnan, Ramadan Ondash pada aksi ONE Fight Night 38 yang berlangsung di Stadium Lumpinee, Bangkok, hari ini.
Turun dengan keyakinan tinggi, atlet berusia 21 tahun itu mendominasi gelanggang melalui rangkaian pukulan tepat serta sepakan bertenaga, sebelum diumumkan sebagai pemenang menerusi keputusan sebulat suara.
Memanfaatkan kelebihannya dengan ketinggian 1.77 meter, Aliff bijak mengekang gaya agresif Ramadan, malah beberapa kali membuatkan lawannya tersungkur hasil serangan konsisten yang tepat mengenai sasaran. Kemenangan tersebut sekali gus menamatkan rekod tanpa kalah Ramadan dalam empat pertarungan terdahulu.
Lebih manis lagi, kejayaan ini membuka laluan besar buat Aliff dalam memburu impian menjadi juara dunia ONE Championship, apabila beliau dijangka bakal berdepan juara strawweight semasa, Prajanchai P K Saenchai, bagi perebutan tali pinggang dunia.
Aliff yang jelas teruja dengan kemenangan berprestij itu berkata:
“Saya sangat gembira dengan kemenangan hari ini dan sudah tentu mahu menjadi juara dunia. Itu impian saya, jadi saya mahu mendapatkan tali pinggang itu untuk pasukan dan untuk bapa saya.”
Kemenangan ini mengukuhkan lagi reputasi Aliff sebagai prospek terbesar muay thai Malaysia di pentas dunia dan memberi isyarat bahawa dirinya kini semakin hampir dengan detik kemuncak karier profesionalnya.

