KUALA LUMPUR – Pempengaruh media sosial, Iman Kamil meluahkan kekecewaan terhadap segelintir pihak yang didakwa mengambil dan menggunakan videonya tanpa kebenaran sehingga menjejaskan sumber pendapatannya sebagai pencipta kandungan.
Menerusi hantaran yang dimuat naik di laman sosial, Iman menegaskan isu yang dibangkitkannya bukan sekadar soal wang, sebaliknya merangkumi pengorbanan, masa dan tekanan yang dilalui sepanjang menghasilkan setiap kandungan secara sendiri.
Menurutnya, ramai yang tidak mengetahui beban sebenar di sebalik penghasilan video yang dibuat secara berdikari, termasuk kepenatan, stres berpanjangan dan masalah bersama klien yang terpaksa dihadapi tanpa sokongan sesiapa.
Iman turut mendedahkan bahawa beliau pernah berhadapan kesukaran kewangan sehingga tiada wang untuk ‘survive’, namun tetap berusaha membeli barangan sendiri bagi menghasilkan video asli tanpa mencuri atau meniru hasil orang lain. Namun, tidak semua pembelian dan kandungan itu mendapat sambutan atau pulangan sewajarnya.
Lebih mengecewakan, katanya, terdapat ramai pihak yang senang-lenang menyalin, mengambil dan menjadikan videonya sebagai sumber keuntungan tanpa sebarang izin.
“Saya pernah kena kecam, dihina. Korang hadap tak semua tu? Saya pernah tak ada duit nak hidup, tapi masih beli barang sendiri untuk buat video. Sebab tu saya tak boleh maafkan. Apa yang saya lalui bukan benda korang boleh bayar,” katanya.
Iman turut mempersoalkan tindakan individu yang hanya tampil meminta maaf selepas video tersebut ditularkan atau mendapat teguran masyarakat.
“Time curi video saya, tak pula datang minta izin. Sekarang baru terhegeh-hegeh. Rasa hidup tak tenang ke? Sudah tentu makan duit dari sumber yang haram,” katanya.
Luahannya menerima pelbagai reaksi warganet, termasuk yang menyatakan sokongan agar isu pencurian kandungan digital diberi perhatian serius, memandangkan ia semakin menjadi kebiasaan dalam industri kreatif masa kini.

