Sukan SEA 2025: 22 tahun tunggu, Andre akhirnya pecah kemarau emas lompat jauh

BANGKOK – Jaguh negara, Andre Anura Anuar, akhirnya menebus kekecewaan apabila menghadiahkan pingat emas yang telah ditunggu-tunggu selama 22 tahun dalam acara lompat jauh lelaki di Sukan SEA Thailand 2025, hari ini.

Dalam aksi mendebarkan di Stadium Nasional Supachalasai, Andre yang berada di tangga kedua selepas mencatatkan 7.62 meter (m) berjaya bangkit mengatasi juara bertahan edisi lalu dari Filipina, Ubas Janry, dengan lompatan sejauh 7.71m pada percubaan terakhirnya.

Ubas Janry yang gagal pada percubaan terakhir terpaksa akur dengan pingat perak selepas mencatatkan 7.64m, manakala pingat gangsa menjadi milik wakil Singapura, Medina Andrew George, dengan 7.53m.

Kejayaan ini amat manis bagi Andre kerana bukan sahaja menebus kegagalannya melengkapkan hatrik emas dalam acara lompat kijang pada Khamis lalu, tetapi juga menamatkan kemarau panjang Malaysia dalam acara lompat jauh di pentas Sukan SEA. Kali terakhir atlet negara memenangi emas dalam acara ini ialah menerusi Mohd Shahrul Amri Suhaimi pada edisi 2003 di Hanoi, Vietnam.

Mengulas kemenangannya, Andre mengakui beliau masih sukar mempercayai pencapaian itu, terutamanya selepas tekanan tinggi akibat kegagalan pada percubaan kelima.

“Serius saya cakap, saya sebenarnya masih belum percaya dengan kemenangan ini. Acara lompat jauh memang penuh tekanan. Kalau kita lihat rekod peribadi terbaik, ketiga-tiga kami pernah melepasi 8m, jadi apa-apa sahaja boleh berlaku. Apabila ketinggalan, saya masuk ke dalam tuala saya, cuba panaskan badan dan bayangkan yang saya telah pun memenangi perlawanan ini. Itu cara saya mengawal tekanan,” jelasnya.

Strategi itu akhirnya membuahkan hasil apabila lompatan kemenangan dilakukan pada percubaan terakhir, selepas lompatan terakhir Ubas Janry dibatalkan.

“Selepas saya lihat lompatan atlet Filipina itu batal, saya sangat gembira. Saya tahu saya kalah di lompat kijang dan ini sahajalah satu-satunya harapan yang tinggal. Saya sangat teruja sampai buka baju dan menjerit. Emas ini saya hadiahkan untuk isteri saya sempena hari jadinya dan juga untuk jurulatih saya yang tahu perjuangan saya selama ini,” tambahnya.

Kemenangan Andre bukan sahaja menyuntik semangat atlet negara lain, malah menandakan kebangkitan Malaysia dalam acara olahraga yang penuh prestij ini di Sukan SEA.

BACA JUGA:  Zizi Kirana, Yusuf Bahrin sah bercerai talak satu
Muhammad Haqim
Muhammad Haqim
haqim@portalmyberita.com

TRENDING

Tiada unsur jenayah dalam tragedi Pelantar Sepat, punca sebenar masih disiasat – Polis

KUALA TERENGGANU – Insiden kemalangan di pelantar minyak Sepat...

31,600 jemaah haji Malaysia mula bergerak ke Arafah

MAKKAH – Suasana penuh tertib dan berdisiplin mewarnai pergerakan...

Arif Aiman tamatkan zaman bujang, sah bergelar suami kepada Aliah Natasha

JOHOR BAHRU - Pemain sayap Arif Aiman Hanapi kini...

JPJ tangguh sementara urusan tukar hak milik kenderaan ‘online’ mulai 25 Mei

KUALA LUMPUR - Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia (JPJ) akan...

Linda Jasmine, Ratu tersingkir minggu keenam TTMM2

SHAH ALAM - Perjalanan pasangan Linda Jasmine dan Ratu...