Sukan SEA 2025: Kuartet 4×100m lelaki hadiah perak, pecah rekod kebangsaan

BANGKOK – Kuartet 4×100 meter (m) lelaki negara mencipta kejutan pada Sukan SEA Thailand 2025 apabila bukan sahaja menghadiahkan pingat perak, malah berjaya memecahkan rekod kebangsaan dalam aksi final di Stadium Nasional Supachalasai, sebentar tadi.

Gandingan mantap yang dibarisi Aliff Iman Mohd. Fahmi selaku pelari pertama dan diiringi Jonathan Nyepa, Pengiran Aidil Auf Hajam serta pelari terakhir muda negara, Danish Iftikhar Muhammad Roslee, memperagakan larian hampir sempurna untuk mencatatkan masa 39.03 saat (s).

Catatan terbaik itu sekali gus memadam rekod lama kebangsaan 39.09s yang dilakar oleh kuartet Muhammad Azeem Mohd Fahmi, Muhammad Arsyad Saat, Muhammad Haiqal Hanafi dan Muhammad Zulfiqar Ismail yang memenangi pingat perak pada Sukan SEA Hanoi dua tahun lalu.

Namun begitu, kuartet negara terpaksa akur dengan kepantasan luar biasa pelari tuan rumah, Thailand, yang diterajui jaguh pecut sensasi rantau ini, Puripol Boonson. Thailand merangkul pingat emas dengan catatan masa 38.28s, sekaligus memecahkan rekod temasya, manakala pingat gangsa menjadi milik Indonesia dengan masa 39.51s.

Pelari senior negara, Jonathan Nyepa, berkata strategi utama mereka adalah untuk memberikan tekanan maksimum kepada Thailand sejak awal perlumbaan sambil memastikan pertukaran baton berjalan lancar.

“Catatan masa ini memang mengejutkan kerana kami tidak pernah mencatat larian selaju ini walaupun dalam sesi latihan. Sebelum perlumbaan, saya berpesan kepada rakan sepasukan supaya jangan beri mereka ruang untuk selesa. Kita cuba berikan saingan sehabis baik,” jelas Jonathan.

Pelari pertama, Aliff Iman, yang membuat penampilan sulung di Sukan SEA, berkata beliau bersyukur kerana berjaya memberikan permulaan cemerlang.

“Sebagai pelari pertama, saya tahu semua pesaing berada di belakang. Apa yang boleh saya buat adalah terus lari habis-habisan. Ini penampilan pertama saya, dan saya bersyukur berjaya bawa pulang pingat serta rekod kebangsaan untuk Malaysia,” kata Aliff.

Pelari terakhir, Danish Iftikhar, turut meluahkan rasa syukur kerana berjaya menamatkan larian dengan tenang dan menyempurnakan misi pasukan.

BACA JUGA:  Tarikh lihat anak bulan Syawal ditetapkan 30 Mac

“Alhamdulillah, saya sangat bersyukur diberi peluang untuk berganding dengan senior-senior dalam pasukan. Misi kami tercapai untuk memecahkan rekod kebangsaan,” ujar Danish.

Kejayaan kuartet ini bukan sahaja membuktikan kemampuan atlet muda negara, malah menaikkan semangat pasukan olahraga Malaysia untuk terus bersaing di pentas antarabangsa.

Nabil Qodri
Nabil Qodri
nabilqodri@portalmyberita.com

TRENDING

Suspek kes kurung, liwat remaja 14 tahun berjaya diberkas

KUALA LUMPUR - Pemburuan selama lima hari terhadap seorang...

Haroqs hanyutkan coklat ke laut demi anak-anak Gaza

KUALA LUMPUR - Pempengaruh media sosial, Muhammad Hareez Adzrami...

Tiada penyingkiran, Pak Azad & Amarra Sofea terselamat minggu kelima TTMM2

SHAH ALAM - Pasangan Pak Azad dan Amarra Sofea...

‘Travel around the world’ warnai Hari Guru Sekolah Sultan Alam Shah 2026

PUTRAJAYA - Sambutan Hari Guru peringkat Sekolah Sultan Alam...

Aidiladha di Malaysia disambut 27 Mei ini

KUALA LUMPUR - Umat Islam di seluruh Malaysia akan...