KUALA LUMPUR – Ribuan peminat Wali Band pulang dengan perasaan hampa apabila Konsert Pentas RadjaWali Live in Malaysia yang berlangsung di Idea Live Arena Damansara terpaksa dihentikan tepat jam 12 tengah malam tadi, sekali gus menggagalkan hasrat kumpulan popular Indonesia itu untuk melengkapkan senarai lagu persembahan mereka.
Situasi tersebut mencetuskan kekecohan apabila penonton yang memenuhi gelanggang berkapasiti kira-kira 5,000 orang enggan berganjak sejurus pengumuman dibuat, sebelum akhirnya meninggalkan lokasi dengan rasa marah dan tidak puas hati.
@niydees DAHLAH TIKET MAHAL, ending mcam tuu je !???!?!? dahlah start lambat, nak habis awal lak, masalah kiteorang ke korang start lambat ???? #radjawaliliveinkl ♬ Void Cadence – Deep Waves & Universatility Group
Difahamkan, keputusan memberhentikan persembahan Wali Band dibuat susulan kekangan masa serta syarat permit dan perjanjian antara pihak penganjur dan pengelola venue, meskipun kumpulan itu dilaporkan berhasrat untuk meneruskan persembahan bagi memenuhi permintaan peminat.
Insiden bermula sebaik sahaja Wali Band menamatkan lagu Ada Gajah Di Balik Batu, apabila suasana pentas tiba-tiba digelapkan sehingga menimbulkan kekeliruan dalam kalangan penonton.
Pengumuman rasmi oleh pengacara konsert, Isma Halil, yang memaklumkan konsert terpaksa dihentikan serta-merta mengundang reaksi keras daripada penonton, termasuk jeritan dan laungan ‘boo’ sebagai tanda kekecewaan.
Keadaan itu sekali gus menyebabkan peminat tidak berpeluang menyaksikan sekitar empat lagu hit popular Wali Band termasuk Yank dan Aku Bukan Abang Toyip, walaupun ia tersenarai dalam atur cara asal persembahan.
Terdahulu, konsert mega tersebut dimulakan dengan persembahan kumpulan Radja, yang dianggotai Ian Kasela selaku vokalis bersama Moldyansyah Mulyadi dan Seno Aji Wibowo, dengan membawakan sebanyak 18 buah lagu.
Wali Band yang dianggotai Faank (vokalis), Ovie (keyboard) dan Tommy (dram), tanpa kehadiran Apoy (gitar) atas faktor kesihatan, sepatutnya mempersembahkan 14 seleksi lagu popular mereka pada malam berkenaan.
Untuk rekod, kali terakhir Wali Band mengadakan persembahan di Malaysia adalah menerusi Konsert Jiwa Kacau di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil pada Jun 2025.
Konsert Pentas RadjaWali Live in Malaysia menawarkan tiket pada harga bermula RM177 hingga RM977, sekali gus meningkatkan harapan tinggi peminat yang hadir bagi menikmati persembahan penuh daripada kumpulan kegemaran mereka.

