Isnin, Jun 22, 2026
spot_img
HomeHIBURANAnggrek juara TTMM2, Hussain berpuas hati di tempat kedua

Anggrek juara TTMM2, Hussain berpuas hati di tempat kedua

SHAH ALAM – Anggrek yang juga merupakan peserta paling muda berusia sembilan tahun, mencipta kejutan apabila berjaya dinobatkan sebagai juara program realiti nyanyian Talk To My Manager musim kedua (TTMM2) bersama ibunya, Adira selaku pengurus.

Kemenangan itu sekali gus menewaskan pencabar sengit beberapa pasangan finalis lain selepas melalui cabaran selama sepuluh minggu.

Pada pentas grand finale, Anggrek atau nama sebenarnya Anggrek Adnan Abu mempamerkan vokal bertenaga dan persembahan memukau menerusi lagu “Aku Stacy” bagi persembahan solo, sebelum bergandingan dengan Aisha Retno menerusi lagu duet “Sutera”.

Kemenangan itu melayakkan pasangan tersebut membawa pulang wang tunai RM30,000 beserta trofi kejuaraan selain pakej percutian dan emas.

Adira menyifatkan kejayaan itu sebagai hasil usaha konsisten anaknya sepanjang pertandingan berlangsung, selain sokongan semua pihak yang terlibat.

“Kejayaan ini adalah usaha, kerja keras serta kesungguhannya dan yang berada di atas pentas tadi adalah dirinya sendiri. Terima kasih juga kepada semua termasuk Aisha Retno,” katanya ketika ditemui media, malam tadi.

Sementara itu, tempat kedua menjadi milik Jamilulhayat bersama anaknya Hussain yang membawa pulang RM15,000, diikuti Datuk Seri Vida bersama Cik B di tempat ketiga dengan RM10,000 serta trofi.

Tempat keempat menjadi milik Datuk A. Aida bersama Azeva, manakala Safura dan anaknya Kim Khairii sekadar berpuas hati di tempat kelima, namun masing-masing tetap membawa pulang RM5,000 serta trofi.

Program TTMM2 The Grand Finale yang dikendalikan Datuk Aznil Nawawi itu turut diserikan dengan penampilan barisan juri seperti Che Puan Sarimah dan Datuk AC Mizal, selain juri jemputan Datuk Syafinaz dan Hael Husaini.

ARTIKEL BERKAITAN
-Iklan-spot_img